Saturday, March 23, 2013

Bashar berang ulama terbunuh



Presiden Syria semalam berikrar menghapuskan golongan pelampau yang dipersalahkan atas insiden pengebom berani mati yang membunuh ramai orang, termasuk ulama terkenal, Sheikh Mohammad Said Ramadan al-Bouti.

Sambil memberi amaran kepada pejuang antikerajaan yang cuba menggulingnya, Bashar al-Assad berkata, tentera Syria akan “menghapuskan” serta membersihkan negara itu daripada “kuasa kegelapan.” “Mohammad Said adalah tokoh mewakili kehendak sebenar Islam dalam menghadapi kuasa kegelapan dan ideologi ekstrem.


“Darah anda dan cucu anda, serta semua rakyat Syria yang syahid tidak akan dipersia-siakan kerana kami akan meneruskan pemikiran anda untuk menghapuskan kegelapan mereka dan membersihkan negara ini daripada mereka,” katanya. Kenyataan itu dibuat ketika Kementerian Kesihatan Syria mengesahkan, jumlah korban akibat serangan pengebom berani mati di dalam masjid itu meningkat kepada 49 orang.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki meletupkan dirinya di sebuah masjid di tengah Damsyik, sekali gus mengorbankan Mohammad Said, 84, yang ketika itu sedang menyampaikan kuliah agama.


Turut terkorban, cucu Mohammad Said dan 84 yang lain cedera.


Sejak sekian lama, Mohammad Said - yang dikenali di seluruh dunia kerana banyak buku tulisannya - adalah penyokong kuat Bashar.

No comments:

Post a Comment