Saturday, March 23, 2013

Kawah besar di Tanduo



Selain nyawa 10 anggota pasukan keselamatan, kawah besar di dalam kampung akibat bom pesawat pejuang serta rumah musnah manakala yang masih utuh kelihatan berlubang terkena tembakan mortar dan kereta perisai, antara harga yang perlu dibayar sebelum Jalur Gemilang dapat dikibarkan pada sebatang kayu di Kampung Tanduo.

Pengibaran bendera Malaysia itu menandakan kampung berkenaan yang paling teruk terjejas berikutan Op Daulat, kini bersih daripada ancaman pengganas. Kampung Tanduo menjadi pusat krisis pencerobohan pengganas kerana pengganas diketuai Abgimuddin Kiram berada di kampung itu sejak mereka menceroboh pada 12 Februari lalu.


Serangan ofensif Op Daulat oleh pasukan keselamatan bermula 5 Mac lalu, menyebabkan beberapa rumah penduduk musnah terkena bom yang digugurkan pesawat F-18D dan Hawk MK-208 yang melakukan serangan udara selama kira-kira 10 minit.


Ketika serangan, penduduk kampung sudah dipindahkan ke kawasan penempatan disediakan di Dewan Embara Budi, Cenderawasih, Gemala Pura dan Fajar Harapan di Felda Sahabat. Dianggarkan seramai 180 penduduk menghuni Kampung Tanduo.


Dapat dilihat dengan jelas kawah besar yang terjadi akibat serangan itu, manakala rumah penduduk ada yang berlubang akibat tembakan mortar dan kereta perisai.


Serangan pasukan keselamatan menyebabkan pengganas terbabit yang dianggarkan lebih 100 orang melarikan diri ke Kampung Tanjung Batu dan Sungai Nyamuk yang terletak berhampiran yang kini sedang digeledah dalam operasi pembersihan pasukan keselamatan.

Kampung Tanduo terletak berhampiran pantai dan kebanyakan penduduknya berketurunan Suluk bekerja sebagai di Felda Sahabat, menjadi nelayan dan berniaga.


Op Daulat bagi menghapuskan pengganas juga menyebabkan haiwan ternakan seperti kerbau, ayam, kambing serta pokok kelapa sawit, musnah dan berdasarkan tahap kemusnahan itu, sukar kampung berkenaan boleh dibangunkan semula, tambahan pula ramai penduduknya yang ditemui, enggan kembali tinggal di sana.

Malah, mereka sebaliknya bertekad membina rumah baru di kawasan lain dan cuba melupakan tragedi pahit yang memusnahkan kehidupan aman sejahtera mereka.


Seorang penduduk Kampung Tanduo Laurus Aman, 33, berkata apa yang berlaku di kampungnya menyebabkan dia bersama ahli keluarga yang lain enggan pulang.


“Lebih baik saya mencari penghidupan baru dan melupakan apa yang berlaku,” katanya.

No comments:

Post a Comment