Saturday, March 23, 2013

Keganasan ragut 52 nyawa



Pertempuran baru meletus, semalam di Bangladesh menjadikan jumlah korban meningkat kepada 52 orang dalam keganasan berpunca daripada sabitan kesalahan seorang pemimpin Islam dalam jenayah perang pada era perang merdeka 1971.

Ketua polis tempatan, Nahidul Islam berkata, seorang penarik beca maut apabila ratusan penyokong kerajaan dan pengikut Jamaat-e-Islami bertempur menggunakan kayu di sebuah pasar di Gaibandha.


Jamaat-e-Islami menganggap keputusan tribunal itu bersifat politik dan mendakwa 50 pengikutnya ditembak mati seperti ‘burung buruan’ kelmarin.

Pertempuran berlaku di seluruh negara selepas Naib Presiden Jamaat-e-Islami, Delwar Hossain Sayedee didapati bersalah atas tuduhan membunuh, merogol dan jenayah lain ketika Bangladesh memperjuangkan kemerdekaannya.


Delwar didapati bersalah oleh sebuah tribunal jenayah perang. Kini dikenali sebagai penceramah garang, Delwar orang ketiga disabitkan kesalahan oleh tribunal itu. Sementara itu, kawalan keselamatan ditingkatkan di ribuan masjid di Bangladesh sebelum solat Jumaat semalam manakala pengawal sempadan ditempatkan di semua bandar utama.


Polis pula melarang sejumlah demonstrasi yang dirancang di beberapa lokasi berisiko manakala sesetengah pintu masjid terbesar di Bangladesh, Baitul Mukarram dikunci bagi mengehadkan jumlah orang yang datang. Kawalan keselamatan turut ditingkatkan di beberapa perkampungan penganut Hindu selepas rumah dan kuil mereka diserang di daerah Noakhali dan Chittagong.

Seorang lelaki penganut Hindu turut terbunuh.


Ketua kumpulan hak asasi manusia Ain O Salish Kendra Sultana Kamal berkata, kelmarin hari paling buruk dalam catatan keganasan politik Bangladesh sejak negara itu mencapai kemerdekaan dari Pakistan pada 1971.

No comments:

Post a Comment