Nurul terlantar sakit saraf
Lailawati membetulkan kedudukan anaknya, Nurul yang mengalami kesukaran bergerak.
Nurul terlantar sakit saraf
Lailawati tabah membesarkan anak-anaknya meskipun mengalami kesempitan hidup
Sekali pandang hati meruntun hiba melihat penderitaan adik Nurul Nur Iqmazatul Abd Manap, 15. Dengan tubuh yang kurus kering akibat menanggung penyakit saraf otak, dia sukar bergerak, tidak sepetah dan selincah remaja lain seusianya.

Bagi Lailawati Omar, 45, hati ibu mana yang dapat menahan air mata apabila menyaksikan zuriatnya terpaksa menanggung derita setiap hari.

“Ia satu ujian yang amat besar buat keluarga kami. Masalah kewangan menghimpit saya daripada mendapatkan rawatan terbaik untuk Nurul,” keluhnya hiba.

Dahulu Nurul sihat seperti seperti bayi lain. Nurul lahir sebagai anak yang sempurna dan sihat tubuh badan biarpun telah melewati tarikh jangkaan bersalin.

“Memandangkan tarikh dah terlajak, doktor memasukkan ubat untuk membolehkan saya melahirkan Nurul. Ketika itu sakitnya hanya ALLAH yang tahu. Saya betul-betul tidak tahan sehingga diserang sawan sedangkan Nurul masih belum lahir.

“Disebabkan sawan, jururawat beri saya ubat. Saya rasa terlalu sakit sehingga keadaan saya dan bayi masa proses kelahiran tu 50-50. Saya berada dalam keadaan yang tidak sedarkan diri. Jantina bayi yang lahir pun saya tidak tahu masa tu,” imbau Lailawati ketika ditemui di rumahnya,  Simpang Jelebu, Negeri Sembilan.

Syukur sambut kelahiran

Lailawati amat bersyukur dengan anugerah ILAHI yang sangat comel dan lincah itu. Bagaimanapun, gembira bertukar sedih apabila Lailawati dimaklumkan bayinya berhadapan masalah jantung.

“Ketika itu, saya tidak mampu berkata apa-apa melainkan berdoa kepada ALLAH semoga bayi saya sihat, dan syukur pada-Nya kerana beberapa hari kemudian, doktor benarkan saya membawa pulang anak ke rumah,” katanya.

Ujian terhadap Lailawati tidak terhenti setakat itu apabila ibu tunggal itu sekali lagi diuji dengan masalah kesihatan Nurul. Dia mendapati kelainan pada anggota badan Nurul yang tiba-tiba tegang dan berpusing.

“Kejadian berlaku di rumah ketika Nurul berusia dua bulan. Saya tak syak apa-apa berkaitan penyakit ini, kerana saya fikir, apabila Nurul dibenarkan pulang ke rumah bermakna dia sihat,” katanya.

Perubahan

Keadaan yang diharapkan sementara itu rupanya bertukar membimbangkan apabila Nurul tidak memberi respons apa-apa sehingga menginjak usia enam bulan.

Pergerakan Nurul tidak sama dengan bayi normal lain yang seusia dengannya membuatkan Lailawati mengesyaki sesuatu.

“Ketika itulah Nurul tunjuk perubahan ketara. Saya bawa Nurul ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk rawatan dan doktor dapati bebola mata Nurul bergerak-gerak. Macam bergegar,” katanya.

Lailawati berkata, doktor mengesahkan Nurul mengalami sawan tarik sehingga menyebabkan saraf otak mati. Selepas itu, dia semakin teruk apabila kulit kepala, pipi, dahi dan kelopak matanya dipenuhi daki sawan dan mengeluarkan lendir. Tidur bayi itu juga selalu terganggu kerana masalah kesihatannya.

“Apa yang saya sedihkan disebabkan tidak mampu untuk membuat rawatan susulan untuk memulihkan pergerakan anggota Nurul. Saya tidak bekerja dan kini menjadi ibu tunggal.

“Hanya sekali saya bawa Nurul ke hospital untuk rawatan fisioterapi tapi selepas itu tiada rawatan susulan dibuat sehingga ke hari ini,” katanya sambil menunduk.

Dalam sehari, Nurul akan diserang sawan sebanyak lebih 10 kali dan ada kalanya tidak terbilang melainkan air mata yang mengiringi hati Lailawati. Dia tidak mampu berbuat apa-apa meskipun risau dengan keadaan Nurul.

“Pernah saya memberi dia susu cair kerana tidak mampu untuk membeli susu tepung. Saya terpaksa minta bantuan pihak Baitulmal untuk membeli barangan keperluan Nurul dan dapur katanya.

“Saya bersyukur kerana ada jiran yang memahami dan banyak membantu. Dalam keadaan macam ini, sokongan dan semangat mereka, membuatkan saya  tabah menghadapi ujian,” katanya yang ada menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Manakala keperluan dan rawatan Nurul diperlukan sebanyak RM500 sebulan. Nurul yang belum mendapat bantuan orang kurang upaya (OKU) hanya terlantar di rumah, sambil ditemani adik-beradiknya, iaitu Mohd Iqmal Aqeem Abd Manap, 13, Mohd Iqmal, 11, dan Mohd Iqmal Al Ameer, 9.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bolehlah menyalurkannya kepada Lailawati Binti Omar melalui akaun CIMB Bank - 05150001400204 atau hubungi 012 - 9736307.