Johari Abdul: Azlan sertai PKR selamatkan Saiful
Azlan Mohd Lazim bergambar bersama pimpinan Pakatan Rakyat sebelum mengadakan sidang media pagi tadi.
Saiful Bukhari dan Azlan Mohd Lazim
Saiful Bukhari dan Azlan Mohd Lazim
PETALING JAYA - Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul berkata, penyertaan Azlan Mohd Lazim ke dalam PKR bertujuan membebaskan anaknya, Saiful Bukhari daripada cengkaman Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, Pakatan Rakyat dan PKR telah memberi sokongan kepada Azlan untuk "melawan" fitnah Umno-BN dengan mempergunakan anaknya terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga individu bertanggungjawab memperkenalkan Azlan kepada PKR berkata, penyertaan Azlan juga akan membantu dalam memberi keyakinan kepada rakyat bahawa wujudnya konspirasi politik jahat terhadap Anwar.

"Saya diberitahu oleh Azlan, dia terpanggil untuk sertai PKR adalah kerelaan hati dan untuk membebaskan anaknya daripada  BN.

"Azlan juga memberitahu saya, PR dan PKR telah memberi sokongan kepadanya untuk melawan fitnah yang dibuat oleh Saiful.

"Penyertaan Azlan juga membantu kita bagi keyakinan kepada rakyat tentang wujudnya konspirasi jahat terhadap Anwar," katanya kepada Sinar Harian Online hari ini.

Jumaat lalu, Azlan telah mengejutkan semua pihak dengan kenyataannya kepada media mengenai adanya konspirasi politik jahat terhadap Anwar yang dikaitkan dengan kes liwat kali kedua.

Mengulas lanjut, Johari juga berkata, penyertaan Azlan adalah tepat menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

"Ini masa yang tepat, dekat juga dengan PRU13," katanya.

Dalam pada itu, Johari memberitahu, Azlan masih belum membuat sebarang keterangan kepada pihak polis walaupun Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memaklumkan bahawa pihaknya akan memanggil beliau dalam masa terdekat.

"Belum, belum, belum, belum ada sebarang maklumat dan tindakan," katanya.