Wednesday, March 13, 2013

Melayu: Umno boleh belajar dengan TG Nik Aziz



KUALA LUMPUR: Melayu merempat Umno wajib dipersalahkan, tegas AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad. 

“Kenapa 55 tahun negara Merdeka, Melayu masih ketinggalan jauh ke belakang.

“Apakah kemiskinan di kalangan orang Melayu dirancang?” tanya beliau.

Katanya, apabila Melayu miskin maka senang untuk mengkambinghitamkan DAP yang dituduh punca Melayu terpinggir.

Dengan ini, ujar beliau Melayu hidup menjadi abdi sepanjang hayat, terutama musim pilihan raya.

Maka, katanya senang mereka dipaksa untuk menyokong Umno dan selepas pilihan raya, pemimpin Umno akan terus mengkhianati amanah rakyat dan negara.
“Apa yang tidak kena, sehingga keadaan semakin parah sedangkan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, orang Melayu, Menteri Kewangan orang Melayu, Menteri Pelajaran dari Melayu, pegawai daerah orang Melayu, penghulu orang Melayu, jawatankuasa kerja kemajuan kampung (JKKK) orang Melayu, ketua kampung juga orang Melayu,” ujarnya.


Punca Melayu tertinggal, kata beliau kerana berlaku diskriminasi ketika bantuan kerajaan hendak diberi disebabkan berlainan ideologi.

Menurutnya, Umno menganggap bantuan itu datang daripada bendahari Umno sedangkan ia adalah wang pembayar cukai.

Beliau menambah, sikap tidak amanah menyebabkan wang tidak sampai kepada sasaran yang sepatutnya menerima bantuan.

Katanya lagi, apabila pemimpin Umno yang bergelomang dengan rasuah, akhirnya mereka yang takut dosa rasuah akan ketinggalan untuk mendapat projek, kerana tidak sanggup memberi rasuah.

“Pemimpin Umno tidak takut dosa sehingga sanggup khianat sesama agama dan bangsa. Mereka tidak fikir balasan yang akan diterima di akhirat jika mereka khianat,” ujarnya.

Sepatutnya, kata Idris pemimpin Umno boleh belajar dengan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Menteri Besar Kelantan yang berjaya menjaga Kelantan, negeri yang majoriti adalah orang Melayu sehingga berjaya menurunkan kadar kemiskinan di negeri itu daripada nombor 2 kepada nombor 4.

“Kenapa Tuan Guru berjaya, sebabnya beliau pemimpin yang amanah, taqwa dan adil,” jelasnya lagi.

No comments:

Post a Comment