Wednesday, March 13, 2013

Serangan Hendap di Kg Simunul Berkait Dengan Pencerobohan - Hishammuddin



SEMPORNA: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengesahkan kejadian serang hendap terhadap anggota keselamatan di Kampung Simunul, di sini 2 Mac lepas mempunyai kaitan langsung dengan pencerobohan militan di Lahad Datu.
"Kes serang hendap di Semporna yang mengakibatkan enam anggota keselamatan terkorban bukan kes terasing daripada kes pencerobohan pengganas di Lahad Datu sejak 12 Februari lepas," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan penduduk Kampung Senallang Lama, kira-kira lima kilometer dari pekan Semporna, iaitu lokasi seorang pengganas dibelasah sehingga mati oleh penduduk.
Dalam kejadian itu sekumpulan pegawai dan anggota polis diserang hendap ketika memasuki perkampungan air terbabit untuk menjalankan operasi setelah mendapat maklumat mengenai terdapat kumpulan bersenjata di kawasan berkenaan.
Kejadian pada 8 malam itu menyebabkan enam anggota keselamatan terkorban manakala enam musuh berjaya ditembak mati.
Mengenai penahanan 97 individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan keganasan di Lahad Datu dan Semporna, Hishammuddin berkata jumlah yang sebegitu besar menunjukan kerajaan amat serius dalam soal keselamatan dan keamanan negara. "Jika tindakan tidak dilakukan sekarang, lebih banyak nyawa mungkin terkorban," katanya sambil memberitahu bahawa kesemua mereka masih dalam siasatan.
Beliau berkata akta yang ada mencukupi untuk mengendalikan kes serius seumpama it.u 

No comments:

Post a Comment