Thursday, April 25, 2013

Filipina kerah askar tambahan



Anggota tentera marin Filipina menggantung batu di atas pokok sebagai jerangkap binatang liar semasa menjalani latihan bersama tentera Amerika Syarikat 'Balikatan' di Kem O'Donnell di Capas, Tarlac, utara Filipina pada 8 April lalu. - REUTERS
MANILA 24 April - Filipina mengerahkan beratus-ratus askar tambahan ketika negara itu berikrar untuk melindungi calon-calon pilihan raya umum yang akan diadakan pada bulan depan selepas gerila komunis mengancam meningkatkan serangan.
Jurucakap Presiden, Edwin Lacierda berkata, Tentera Baru Rakyat (NPA) menyerang beberapa sasaran termasuk ke atas ahli-ahli politik dan mengugut mereka untuk membayar 'permit' bagi berkempen tanpa sebarang gangguan.
Beliau berkata, sebanyak 500 askar marin telah dikerah ke selatan negara ini.
''Anda (NPA) mahu mencabar kami? Silakanlah. Kepada calon, ada satu pasukan tentera dan kami akan melindungi anda,'' katanya ketika membuat pengumuman tersebut.
Beliau berkata, pasukan tambahan itu akan membantu polis membanteras sekatan jalan raya yang dibina oleh gerila komunis bagi menyerang konvoi kempen ahli politik untuk pilihan raya umum pada 13 Mei ini.
Sebelum ini, kumpulan gerila Mao menyerang Datuk Bandar Gingoog, Ruth Guingona, 78, di Mindanao hujung minggu lalu menyebabkan dua pembantunya maut dan dua anggota polis cedera.
Selepas kejadian itu, NPA memberi mengugut ahli-ahli politik supaya meminta kebenaran mereka terlebih dahulu sebelum berkempen di kawasan kubu kuat mereka, selain menghalang pengawal peribadi bersenjata memasuki kawasan mereka.
NPA turut meningkatkan serangan di Mindanao semalam, melemparkan sebutir bom tangan ke arah balai polis, berbalas-balas tembakan dengan peronda tentera dan menculik seorang askar dalam kejadian berasingan.- AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130425/lu_03/Filipina-kerah-askar-tambahan#ixzz2RTgI0oPt
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment