Zahid Hamidi
Ahmad Zahid menyemat Pingat Jasa Malaysia (PJM) yang diberikan kepada salah seorang vateran ATM, Koperal Ibrahim Jaafar, 82.
BAYAN LEPAS - Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, 35 militan Sulu ditembak mati oleh pasukan keselamatan Filipina ketika cuba memasuki perairan Sabah untuk mencetuskan masalah ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Menurutnya, kesemua pengganas itu ditembak selepas pihak keselamatan Filipina memintas mereka di perairan sekitar Pulau Sibutu berhampiran Tawi-Tawi semalam.

"Mengikut maklumat yang diterima,pasukan keselamatan Filipina telah berbalas tembakan dengan mereka ketika meminta kumpulan itu patah balik ke Kepulauan Sulu selepas mereka cuba mahu memasuki peraian Sabah.

"Berdasarkan maklumat risikan difahamkan mereka berhasrat untuk memasuki Sabah dan mengadakan pencerobohan dan kekacauan menjelang PRU di Malaysia," katanya pada sidang media di sini selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Tun Razak di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, sekiranya kumpulan penceroboh itu berjaya masuk ke perairan negara beliau akan memastikan pihak keselamatan negara akan membunuh atau mengusir mereka keluar demi mempertahankan negara.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, mengucapkan jutaan terma kasih kepada kerajaan Filipina khususnya Tentera Laut Filipina dan Pengawal Pantai Filipina yang telah memberi kerjasama erat dengan kerajaan Malaysia khususnya ATM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani pencerobohan di perairan Sabah.

Sementara itu beliau berkata, terdapat lagi usaha pencerobohan yang cuba dilakukan oleh sekumpulan militan daripada Kepulauan Sulu ke Sabah menjelang hari pengundian nanti.