Rancang naikkan gaji pekerja kilang
Keadaan berisiko pekerja kilang pakaian di Bangladesh memaksa kerajaan menaikkan gaji minimum mereka.
DHAKA - Kerajaan Bangladesh mengumumkan rancangan menaikkan gaji minimum pekerja kilang pakaiannya berikutan insiden runtuhan bangunan yang mengorbankan lebih 1,200 orang di pinggir Dhaka, pertengahan bulan lalu.

Menteri Tekstil, Abdul Latif Siddiky berkata, tindakan itu sebagai membela nasib pekerja tekstil yang menerima gaji paling rendah dan terpaksa bekerja di kawasan berisiko tinggi.

"Lembaga pembayaran gaji dan upah akan mengeluarkan beberapa cadangan kenaikan gaji dalam tempoh tiga bulan ini," katanya.

Menurutnya, mesyuarat berkenaan turut dihadiri wakil-wakil kilang, pekerja dan kerajaan.

Kali terakhir kenaikan gaji minimum untuk setiap pekerja kilang pakaian adalah pada 2010 di mana bayaran upah dinaikkan 80 peratus iaitu kira-kira 3,000 taka (RM120) sebulan, laporan dipetik daripada AP.