Tuesday, May 14, 2013

Hosni Mubarak kesal Mesir terus kucar-kacir

Hosni Mubarak kesal  Mesir terus kucar-kacirPenyokong Mubarak menunggu berita perbicaraan bekas presiden Mesir di luar akademi polis Kaherah minggu lalu. Kaherah: Pemimpin Mesir yang digulingkan, Hosni Mubarak kecewa dengan hal ehwal negara itu terutama nasib penduduk miskin ketika memberi komen pertama kepada media sejak ditahan dua tahun lalu.

Pada masa sama, Mubarak, 85, berkata masih terlalu awal untuk menilai penggantinya, Mohammed Morsi kerana beliau mempunyai beban yang besar untuk ditanggung.
Beliau turut memberi amaran supaya kerajaan mengelak daripada membuat pinjaman besar dalam rundingan dengan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF).


Katanya, ia akan menyukarkan lagi kehidupan rakyat miskin di Mesir kerana lebih 40 peratus penduduk berpendapatan kurang AS$2 (RM6) sehari, lapor akhbar Al-Watan kelmarin.

Tak dapat disahkan

Temu bual itu, bagaimanapun, tidak dapat disahkan. Panggilan Associated Press kepada peguam Mubarak, Farid ElDeeb tidak dijawab tetapi beliau dipetik memberitahu Ahram Online, versi talian akhbar Al-Ahram bahawa temu bual itu adalah ‘rekaan’.

Pemberita Al-Watan, Mohammed el-Sheik mengambil gambar beliau sendiri berhampiran dan di dalam helikopter perubatan Mubarak tanpa bekas pemimpin itu di dalamnya.
El-Sheikh mengendali temu bual itu selepas menyelinap ke satu kawasan Mubarak menunggu ketika perbicaraan Sabtu lalu, sebelum prosiding bermula.

Elak dikesan pengawal

Beliau juga memberitahu stesen televisyen persendirian ONTV bahawa beliau tidak dapat merakam temu bual itu kerana perlu mengelak dikesan pengawal Mubarak.

Mubarak adalah musuh Ikhwanul Muslimin, pertubuhan Islam yang diwakili Morsi.
Dalam komen beliau kepada akhbar Mesir yang disiarkan Ahad, Mubarak seperti bermegah dengan menggambarkan Mesir makin bermasalah sejak beliau digulingkan pada 2011 dan menggambarkan dirinya pelindung golongan miskin.

Mubarak meletak jawatan pada Februari 2011 berikutan kebangkitan popular menggunakan slogan ‘Roti, Kebebasan dan Keadilan Sosial.’

Penunjuk perasaan mendakwa Mubarak memupuk budaya memegang kuasa penuh dan membiarkan polis bertindak sewenang-wenangnya.

Mereka juga percaya Mubarak mendidik seorang anaknya untuk menggantikan beliau.

Mubarak memberitahu pemberita bahawa beliau amat sedih dengan kemiskinan penduduk Mesir dan kecewa dengan ekonomi bandaraya industri yang dibina ketika 30 tahun pemerintahan beliau dan kurangnya keselamatan di negara itu. - AP

No comments:

Post a Comment