Tuesday, May 14, 2013

Parti Nawaz Sharif menang



Beribu-ribu penyokong Nawaz yang berkumpul di pekarangan rumah pemimpin itu di Lahore bersorak gembira selepas Nawaz mengumumkan kemenangan parti PML-N pimpinannya pada pilihan raya umum Pakistan, kelmarin. - AFP
LAHORE 12 Mei - Bekas Perdana Menteri Pakistan, Nawaz Sharif mengumumkan kemenangan parti pimpinannya dalam pilihan raya umum Pakistan, semalam membolehkannya membentuk kerajaan baharu dan memegang semula jawatan tersebut buat kali ketiga.
Pengumuman Nawaz, 63, itu dibuat apabila keputusan tidak rasmi diumumkan selepas hampir 60 peratus daripada 86 juta pengundi keluar mengundi dalam pilihan raya umum negara ini semalam.
Parti Liga Muslim Pakistan-N (PML-N) pimpinan Nawaz mendahului sekurang-kurangnya 115 daripada 272 kerusi yang dipertandingkan, berdasarkan pelbagai ramalan oleh saluran swasta.
Bagaimanapun, Nawaz dilihat gagal mendapat kemenangan majoriti mudah yang meningkatkan kemungkinan pembentukan kerajaan campuran.
Parti pimpinan bekas pemain kriket Pakistan, Imran Khan yang berjanji menamatkan penyelewengan dan mendapat sokongan masyarakat golongan pertengahan dan pengundi muda, mengaku kalah selepas pengumuman keputusan tidak rasmi tersebut.
Parti pimpinan Imran, bagaimanapun mencatat kejayaan tersendiri apabila berjaya membentuk kerajaan wilayah di Khyber Pakhtunkhwa di barat laut negara ini di mana beliau berikrar untuk menamatkan serangan pesawat tanpa pemandu (drone) Amerika Syarikat (AS).
Keputusan rasmi pilihan raya itu akan diumum beransur-ansur hari ini, namun ramalan menyebut tiada satu parti akan menang majoriti bagi 342 kerusi di Dewan Nasional.
Parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) pimpinan Imran pula diramal memenangi 30 kerusi, selepas kempen hebat yang menyaksikan bekas pemain kriket itu dimasukkan ke hospital apabila terjatuh dari pentas ketika berkempen.
Parti Rakyat Pakistan (PPP) pimpinan keluarga Bhutto dan merupakan parti kerajaan sebelum ini, berada di tempat ketiga ketika pengundi menghukum pentadbirannya yang dilihat tidak berkesan dalam tempoh lima tahun lalu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130513/lu_03/Parti-Nawaz-Sharif-menang#ixzz2TDJD33Rk
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment