Friday, May 24, 2013

‘Boo’ enggan naik teksi tak guna meter


Kuala Lumpur: “Saya terkejut apabila mereka melayan saya dengan kasar di depan KLCC. Malah, mereka mengherdik dan melemparkan perkataan ‘boo’ apabila saya mendapatkan teksi lain,” kata penumpang yang hanya mahu dikenali Wan yang mengalami situasi dimalukan pemandu teksi.

Menurutnya, dalam kejadian di depan sebuah pintu masuk KLCC jam 3.30 petang kelmarin, dia dipaksa membayar RM50 untuk tambang dari KLCC menuju Bangsar. Bayaran itu dikenakan pemandu teksi atas alasan kesesakan lalu lintas dan tidak mahu menggunakan meter.


“Saya menaiki teksi dari Bangsar ke KLCC dengan bayaran RM15. Ketika itu, pemandu berkenaan juga tidak mahu menggunakan meter, tetapi saya tidak kisah kerana mempunyai temu janji.

“Namun, apabila pemandu teksi lain mahu kenakan RM50 hanya dari KLCC ke Bangsar, ia tidak munasabah dan terlalu mahal,” katanya.


Wan, berusia 30-an berkata, dia bertanya kepada dua pemandu teksi lain di situ ketika mahu pulang ke Bangsar, tetapi jawapan sama diberikan mereka kerana enggan menggunakan meter.


“Ketika kejadian, saya tidak nampak muka mereka sebagai ancaman, tetapi apabila saya bertanya soalan sama ada menggunakan meter, mereka kelihatan marah. Ada pemandu teksi warna biru ajak saya naik keretanya, tetapi saya enggan kerana tahu ada bayaran tambahan dikenakan,” katanya.

Sejurus permintaan menggunakan meter ditolak tiga pemandu teksi, Wan berjalan menuju satu perhentian teksi di tepi Jalan Ampang untuk mendapatkan teksi lain. Namun, katanya dia sekali lagi terkejut apabila menyaksikan perangai pemandu teksi bercakap lucah terhadap pelancong asing.


“Saya ternampak ada pelancong wanita asing termasuk seorang remaja dari satu keluarga Arab berpakaian seksi berada di situ. Beberapa pemandu teksi yang berada di situ tidak segan silu bercakap lucah dalam bahasa Malaysia walaupun pelancong itu tidak mahu menggunakan perkhidmatan teksi mereka,” katanya.

Bimbang dipukul kumpulan teksi terbabit, katanya, dia menyeberang jalan dan mendapat teksi lain yang menggunakan meter.


“Sejak saya bertanya meter, kumpulan teksi terbabit sudah memerhatikan gerak-geri saya. Sehingga saya naik teksi lain, mereka melemparkan perkataan ‘boo’ dan cuba memalukan saya depan khalayak,” katanya.

No comments:

Post a Comment