MANILA 23 Mei - Filipina berikrar untuk mempertahankan haknya dalam kes tuntutan bertindih kawasan maritim di Laut China Selatan, selepas sebuah kapal perang China memasuki satu kawasan terumbu di perairan itu, yang dikawal tentera marin Filipina.
Jurucakap Jabatan Luar Filipina, Raul Hernandez hari ini berkata, kapal perang China, bersama dua kawal peronda serta sekumpulan bot nelayan masih berada dekat Beting Second Thomas.
''Mereka (kapal-kapal China) tidak sepatutnya berada di sana. Mereka tiada hak untuk berada di sana... Tiada siapa boleh melahirkan keraguan terhadap hak rakyat Filipina mempertahankan kawasan tersebut.
''Tentera laut dan Pengawal Pantai kami diberi mandat untuk menguatkuasakan undang-undang Filipina di sana,'' katanya dalam satu mesej pesanan ringkas (SMS) kepada AFP.
Filipina pada minggu ini membantah kehadiran 'provokatif dan melanggar undang-undang' kapal perang China itu dekat beting tersebut, namun China menolaknya dan mendakwa kawasan itu merupakan wilayah kedaulatannya.
Filipina, Malaysia, Vietnam, Brunei dan Taiwan turut menuntut kawasan pertikaian itu yang dilihat boleh mencetuskan konflik besar sejak beberapa dekad lalu.
Beting Second Thomas merupakan kumpulan pulau kecil dan terumbu karang di rantaian Kepulauan Spratly, kira-kira 200 kilometer di barat laut Pulau Palawan, Filipina.
Kesemua negara terbabit, kecuali Brunei, menempatkan pos tentera di di pulau-pulau di sekitar Spratly untuk menegaskan tuntutan masing-masing.
Bagaimanapun, Beting Second Thomas dikawal beberapa kapal tentera marin Filipina era Perang Dunia ke-2 yang dihantar pada hujung 1990-an. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130524/lu_04/Filipina-ikrar-pertahan-hak#ixzz2UAEwu5lj
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment