Singapura: Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) semalam menobatkan pendapatan purata rakyat Singapura sebagai yang tertinggi di dunia berdasarkan kepada pendapatan perkapita dan kemampuan daya beli negara itu.
IMF mencatatkan secara purata pendapatan setiap rakyat Singapura dalam setahun ialah AS$61,567 (RM186,824).
Jumlah itu meningkat dua peratus berbanding dengan tahun sebelumnya. Dengan pendapatan itu, Singapura mengungguli empat negara lain - Norway, Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu dan Switzerland.
Norway sebagai pesaing terdekat mencatat pendapatan purata $56,663 (RM171,943) dan Amerika Syarikat masih kekal di kedudukan lima teratas walaupun negara itu menghadapi masalah kelembapan ekonomi.
Dalam kenyataan itu, IMF juga meramal kekayaan rakyat Singapura akan terus meningkat kepada $77,000 (RM233,656) pada 2018.
Dari segi lain, pemimpin republik itu terus mengukuhkan kedudukan negara berkenaan sebagai hab perniagaan konglomerat antarabangsa bagi menarik syarikat multinasional menyuntik modal di republik itu.
IMF menyasarkan Singapura sebagai ‘syurga bebas cukai.’
Dengan cukai yang rendah golongan mewah dari pelusuk dunia memilih untuk berhijrah dan menetap di Singapura. Pengasas bersama Facebook, Eduardo Saverin dan usahawan hartanah Australia Brett Blundy antara contoh terbaik.
Singapura juga dijangka menewaskan Switzerland sebagai pusat golongan kaya menyimpan harta kekayaan mereka pada 10 tahun akan datang. - Agensi
No comments:
Post a Comment