Friday, June 7, 2013

Apakah Menteri Dalam Negeri seorang penjenayah?


Lim Kit Siang,06 Jun 2013
Saya ucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang telah menyatakan kemarahan mereka terhadap keangkuhan dan kesombongan Menteri Dalam Negeri yang baru, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (gambar), yang pada Selasa lalu muncul di kaca televisyen menyebut: “Siapa Lim Kit Siang? Saya tidak kenal siapa dia.”

Pertanyaan “Siapa Lim Kit Siang” tidak penting, sebaliknya yang penting adalah “Siapa Ahmad Zahid Hamidi” yang baru saja dilantik menjadi Menteri Dalam Negeri.

Pertanyaan ini penting terutamanya kerana Pengerusi Biro Undang-undang DAP dan Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo telah menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menggantung Zahid daripada Kabinet bagi membuktikan Perdana Menteri benar-benar serius untuk membuat pembaharuan dalam kerajaan.

Gobind telah menyatakan kepada Perdana Menteri bahawa sesuatu yang “kurang molek” untuk meletakkan sebuah kementerian yang penting dan berkuasa seperti Kementerian Dalam Negeri di tangan seorang yang telah diarahkan untuk menjawab saman sivil yang dikemukakan terhadapnya atas tuduhan menyerang seseorang, memandangkan orang yang sebegini mampu membuat tindakan yang membawa kepada ketegangan, dan ini akan merosakkan citra kerajaan Barisan Nasional (BN).

Apa respons Najib terhadap pandangan Gobind bahawa dengan menjadikan Zahid sebagai menteri di Kementerian Dalam Negeri yang bertanggungjawab ke atas polis, ketegangan boleh berlaku kerana Kementerian Dalam Negeri merupakan salah satu di antara kementerian yang mempunyai kuasa besar, di mana polis dan penjara merupakan antara lembaga yang berada di bawahnya.

Ahmad Zahid telah disaman oleh ahli perniagaan Amir Abdullah Bazli yang mendakwa Ahmad Zahid telah menumbuknya di bahagian mata pada 16 Januari 2006 di kelab riadah Country Heights, Kajang, Selangor, menyebabkan tulang hidungnya patah dan mata kirinya bengkak.

Ahmad Zahid yang ketika itu adalah timbalan menteri penerangan telah menafikan tuduhan tersebut dan memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menggugurkan kes tersebut. Permohonannya telah diketepikan oleh mahkamah yang sama pada 21 April 2010.

Beliau kemudiannya telah memfailkan saman balas terhadap Amir Abdullah, 41 tahun, kerana mendakwa yang beliau terpaksa berdepan dengan aib dan trauma emosional berikutan tuduhan berkenaan.

Bagaimanapun, tahun lalu sebuah panel Mahkamah Rayuan yang dianggotai tiga orang hakim sebulat suara telah menolak permohonan Zahid untuk membatalkan saman ke atasnya dan memerintahkan menteri itu untuk membayar kos sebanyak RM5,000. Mahkamah juga telah memerintahkan Zahid untuk menjawab tuduhan ke atasnya.

Najib sewajarnya memberi respons terhadap persoalan yang dibangkitkan oleh Gobind, khususnya kerana Najib adalah Perdana Menteri pertama yang melantik seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri dengan tanggungjawab khusus untuk mengukuhkan “integriti” dan “tadbir-urus yang baik”.

Najib terutamanya perlu menjelaskan sama ada beliau menyedari tentang adanya tuduhan yang serius terhadap Zahid itu sewaktu beliau memegang jawatan timbalan menteri penerangan dan sama ada Perdana Menteri telah mempersoalkan mengapa polis tidak mendakwa Zahid atas kesalahan menyerang pada tahun 2006 dan menjelaskan jawapan yang telah beliau terima.

Paul Low, sebagai menteri yang memegang portfolio “integriti” dan “tadbir-urus yang baik” perlu menyatakan sama ada beliau bersetuju bahawa Zahid perlu mengundurkan diri sebagai Menteri Dalam Negeri sehinggalah dia membersihkan dirinya daripada tuduhan serius melakukan jenayah serang pada Januari 2006 lalu ketika beliau memegang jawatan timbalan menteri penerangan.

Kes berkenaan menimbulkan persoalan penting mengapa Zahid belum dituduh oleh Polis atas jenayah serang.

Kes ini juga menimbulkan pertanyaan sama ada Malaysia telah mendapat seorang penjenayah sebagai Menteri Dalam Negeri yang baru.

Apakah Zahid atau Najib bersedia untuk menjawab persoalan tentang kesesuaian Zahid sebagai Menteri Dalam Negeri yang baru di Parlimen pada 26 Jun nanti sedangkan pertuduhan jenayah terhadapnya masih berlangsung dan polis pula gagal untuk mendakwa Zahid ketika itu?

No comments:

Post a Comment