Kanak-kanak Afghanistan korban jet pejuang AS
Tiga kanak-kanak terbunuh sewaktu jet pejuang tanpa pemandu AS membedil wilayah Kunar, semalam.
KUNAR - Tiga kanak-kanak terbunuh dalam serangan membabitkan jet pejuang tanpa pemandu Amerika Syarikat (AS) di wilayah Kunar, timur laut Afghanistan, semalam.

Jurucakap polis berkata kepada Reuters, kira-kira enam orang termasuk wanita turut cedera selepas pasukan ketenteraan AS melancarkan serangan berdekatan Pakistan.

Pada 20 Mei lalu, sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dan puluhan cedera dalam serangan serupa di wilayah selatan Kapisa.

Ratusan penduduk Afghanistan dilaporkan menjadi korban bedilan jet pejuang AS sekali gus mengundang kemarahan rakyat kepada Barat.

Bagaimanapun, Washington mendakwa tindakan serangan bersama sekutu ke Afghanistan adalah untuk menghapuskan Taliban selain melabelkan negara itu masih tidak selamat kepada rakyat.

Selain Afghanistan, beberapa buah negara bergolak seperti Pakistan, Yaman dan Somalia turut menjadi mangsa serangan jet pejuang AS dengan alasan serupa yang meragut nyawa penduduk awam.