Rakyat Yaman protes AS, Israel
Puluhan ribu rakyat Yaman berhimpun sewaktu upacara pengebumian Houthi.
SANA'A - Lebih 10,000 penduduk Yaman mengadakan perhimpunan di utara negara bagi memprotes keganasan rejim Israel dan Amerika Syarikat (AS) ketika upacara pengebumian pengasas pertubuhan pembangkang Houthi, kelmarin.

Dipetik Al-Jazeera, menurut aktivis, peserta melaungkan kematian untuk AS dan Israel, sewaktu mengebumikan jenazah Hussein Badr al-Din al-Houthi.

Sebelum ini, jenazah Houthi disemadikan di penjara pusat dalam Sana'a di bawah pemerintahan rejim diktator yang digulingkan Ali Abdullah Saleh.

Kemudian, kerajaan baru Yaman yang dibangunkan semula selepas kebangkitan rakyat menyerahkan kembali mayat Houthi kepada keluarganya.

Terdahulu, Houthi terbunuh sewaktu bertempur dengan tentera kerajaan Yaman dalam perang Sa'dah pada 2004.