Friday, June 7, 2013

Erdogan enggan bertolak ansur dengan penunjuk perasaan Turki



SEKUMPULAN penunjuk perasaan melakukan senaman yoga di Taman Gezi di Dataran Taksim, Istanbul semalam.


ISTANBUL - Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan semalam menyatakan rancangan pembangunan semula Taman Gezi di Dataran Takzim di sini akan diteruskan.
Beliau membuat kenyataan itu walaupun para penunjuk perasaan msih berhimpun di Taman Gezi sebagai usaha untuk menentang rancangan tersebut.
Menurutnya, projek itu ditentang oleh pihak pembangkang kerana rancangan tersebut datangnya daripada Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP).
Erdogan yang bercakap kepada pemberita di Tunis, Tunisia semasa melakukan lawatan ke negara itu berkata, terdapat beberapa kumpulan pengganas yang memanipulasi tunjuk perasaan tersebut yang pada mulanya bermula sebagai kempen alam sekitar tetapi bertukar menjadi perhimpunan antipemerintahannya.
Tunjuk perasaan di Turki yang bermula dengan rancangan pemerintah untuk menebang 600 pokok di Taman Gezi di Dataran Taksim di sini untuk mendirikan sebuah pusat beli-belah dan pusat kebudayaan masih berlanjutan sejak Jumaat lalu.
Bilangan penunjuk perasaan semakin ramai apabila mereka bukan sahaja menentang rancangan untuk menebang pokok itu tetapi juga menyatakan perasaan marah terhadap Erdogan yang dianggap bersikap angkuh.
Tunjuk perasaan anti-Erdogan itu kemudian merebak ke beberapa buah bandar lain seperti di Ankara dan Izmir.
Menurut beberapa kumpulan hak asasi manusia dan perkhidmatan perubatan, pertempuran yang melibatkan para penunjuk perasaan dengan polis itu telah menyebabkan dua orang terbunuh dan lebih 4,000 orang cedera.
Tumpuan para penunjuk perasaan itu ialah Dataran Taksim dan Taman Gezi di tengah Istanbul yang kini didiami oleh sejumlah penunjuk perasaan.
Pada hari pertama tunjuk perasaan tersebut yang berlaku pada minggu lalu, Erdogan menggelarkan para penunjuk perasaan itu dalam bahasa Turki sebagai capulcu yang bermakna perompak dan penjarah.
Para penunjuk perasaan kemudian mengambil kesempatan dengan mengubah perkataan capulcu itu dengan menggantikannya sebagai capulling yang membawa maksud penentangan. Mereka nekad terhadap serangan gas pemedih mata dan menjerit slogan anti-Erdogan.
Perkataan itu kemudian digunakan oleh para pengguna rangkaian sosial.
Para pengguna Facebook mengemas kini status mereka dengan menggunakan perkataan itu.
Tunjuk perasaan anti-Erdogan yang paling besar itu turut disertai oleh para pekerja yang memakai sut, wanita memakai tudung kepala dan para peminat bola sepak.
Semua lapisan masyarakat itu bersatu bagi menentang Erdogan yang dianggap mengamalkan gaya pentadbiran autokratik.
Erdogan sebelum ini merupakan Perdana Menteri Turki yang paling popular dalam kalangan penduduk dalam tempoh beberapa dekad lalu.
Namun, kini sebahagian penyokongnya turut menyertai tunjuk perasaan itu.
"Terdapat pegawai-pegawai dan anggota di dalam partinya yang tidak gembira dengan perkembagan terbaharu itu," kata satu sumber yang rapat dengan parti AKP pimpinan Erdogan.
Parti itu memperoleh kuasa menerusi tiga pilihan raya sejak tahun 2002.
"Ia merupakan situasi yang tidak pernah berlaku ke atas Erdogan. Beberapa orang di dalam AKP berpendapat, dasar-dasarnya perlu dilembutkan," tambah sumber tersebut.
Timbalan Perdana Menteri, Bulent Arinc sebelum ini meminta maaf kepada para penunjuk perasaan yang cedera selepas anggota-anggota polis bertindak keras terhadap mereka dengan melepaskan gas pemedih mata.
"Erdogan mengendalikan semua perkara dengan caranya sendiri. Beliau mewujudkan gaya pemerintahan autoritarian," kata seorang wartawan yang mengikuti rapat kerjaya Perdana Menteri itu, Cengiz Candar.
Seorang anggota pertubuhan Antikapitalis Muslim, Fatma Dogan yang ditubuhkan pada tahun 2001 menyatakan, pihaknya akan terus berada di Dataran Taksim untuk melindungi Taman Gezi.
Menurutnya, beliau dan para penyokongnya menentang pemerintahan autoritarian dan keganasan polis.
Taman Gezi tersebut kini dipenuhi dengan khemah-khemah para penunjuk perasaan yang menentang rancangan pembangunan semula itu. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0607&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2VTXfIwFq 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment