Monday, July 8, 2013

ElBaradei pilihan utama PM Mesir

ElBaradei pilihan utama PM MesirElBaradei berunding dengan Mansour di Istana Presiden, kelmarin. Kaherah: Pemilihan pemenang anugerah Nobel Keamanan, Mohamed ElBaradei sebagai perdana menteri sementara Mesir mendapat tentangan di kalangan pihak yang menyokong penggulingan Presiden Mohamed Morsi.

Sementara itu, penyokong dan pembangkang pemimpin yang disingkir itu merancang melakukan perhimpunan semalam.
Agensi berita rasmi MENA awalnya melaporkan, Presiden sementara, Adly Mansour melantik ElBaradei, penentang Morsi, sebelum menafikan keputusan sudah dicapai mengenainya.


Wartawan sudah ada di istana presiden untuk mendengar kenyataan daripada Mansour dan ElBaradei sebelum ia dibatalkan secara tiba-tiba.

Tentang pelantikan

Golongan Salafi yang menyokong penggulingan Morsi oleh tentera, Rabu lalu, menentang pelantikan ElBaradei, mempertikaikan bahawa beliau adalah pilihan menjurus perpecahan, kata sumber rapat perbincangan itu.

Tetapi, penasihat Mansour, Ahmed al-Muslimani, berkata, ElBaradei yang juga bekas ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), kekal ‘calon paling kuat.’ “Beliau berada di tempat teratas senarai nama,” kata Muslimani kepada AFP.

Pembantu Mansour itu terus bersedia bertolak ansur dengan penyokong Morsi dalam Ikhwanul Muslimin meskipun pemimpin pergerakan itu berikrar untuk terus mengadakan bantahan bagi menolak penyingkirannya.

“Kami sedia bekerjasama dengan Ikhwanul Muslimin,” kata Muslimani pada sidang media.

“Saya fikir Ikhwanul Muslimin mempunyai banyak peluang dalam tempoh akan datang untuk menyertai pilihan raya.”

Disambut sorakan

Laporan awal pelantikan ElBaradei disambut dengan sorakan gemuruh di Dataran Tahrir dan istana presiden Ittihadiya, dengan pembangkang Morsi membakar mercun, mengibarkan bendera Mesir dan membunyikan hon kereta.

Reaksi itu dilihat ketika Ikhwanul Muslimin melancarkan kempen baru menuntut tentera mengembalikan kuasa kepada Morsi, selepas keganasan meletus 24 jam lalu menyebabkan 37 maut dan lebih 1,400 cedera.

Tamarod, pergerakan akar umbi yang menganjurkan bantahan besar-besaran ke atas Morsi yang menyebabkan tentera campur tangan, menggesa demonstrasi baru diadakan untuk membalas bantahan penyokong Morsi sekali gus mencetuskan kebimbangan berlakunya pergaduhan lagi. - AFP

No comments:

Post a Comment