Monday, July 8, 2013

Ikhwan gesa teruskan protes


Kaherah: Ikhwanul Muslimin menyeru rakyat Mesir terus mengadakan protes selepas berpuluh-puluh orang terbunuh dan lebih 1,000 yang lain cedera akibat pergaduhan di antara penyokong gerakan Islam itu dengan penentang serta tentera.

Keganasan di antara kumpulan berbeza itu berlaku di tengah Kaherah dan banyak bandar lain, sekali gus menegaskan perlunya penyelesaian politik dicari segera. Akhbar milik kerajaan, al-Akhbar melaporkan beberapa kanak-kanak dibunuh oleh anggota Ikhwanul Muslimin sambil menyiarkan gambar seorang pemuda ditolak dari atas bangunan konkrit di Iskandariah.


Bagaimanapun akhbar itu dikenali sebagai pembenci Ikhwanul Muslimin. Iskandariah adalah satu daripada lokasi protes paling buruk dengan 14 orang dilaporkan terbunuh setakat ini.

Sementara itu, pejabat presiden menawarkan perdamaian dengan penyokong Mohamed Mursi dalam Ikhwanul Muslimin ketika pemimpin pertubuhan berkenaan berjanji terus menolak rampasan kuasa tentera berkenaan. Jurucakapnya berkata, pejabat presiden mempelawa Ikhwanul Muslimin untuk berdamai. “Saya fikir Ikhwanul Muslimin mempunyai banyak peluang pada masa depan untuk menyertai pilihan raya,” katanya.


Beberapa minit selepas kenyataan itu dikeluarkan, media kerajaan melaporkan pendakwa mengarahkan empat pemimpin tertinggi Ikhwanul Muslimin yang ditahan minggu lalu, ditahan selama 15 hari lagi kerana didakwa menghasut protes. - AFP

No comments:

Post a Comment