2013
Masa depan Mesir kabur?
2011
KIRA-kira dua setengah tahun lalu, Dataran Tahrir menjadi lokasi utama penduduk Mesir meraikan ‘kemenangan’ selepas bekas pemimpin diktator, Hosni Mubarak digulingkan.

Perjuangan rakyat menerusi protes besar-besaran selama 18 hari menuntut hak mereka akhirnya menyaksikan bekas pemimpin yang memerintah negara itu selama 30 tahun digulingkan pada 11 Februari 2011.

Pengunduran beliau dilihat memberi harapan baru kepada rakyat Mesir untuk menjalani kehidupan lebih baik di bawah pemerintahan pemimpin baru.

Bagaimanapun, tempoh setahun yang diberikan kepada Presiden Mohammed Mursi dan kegagalannya dalam memenuhi tuntutan rakyat menyebabkan beliau turut menerima nasib sama seperti Mubarak.

Mursi digulingkan hanya dalam tempoh empat hari selepas protes besar-besaran anjuran kempen Tamarod diadakan pada ulang tahun pertama pelantikan beliau sebagai presiden.

Kebanyakan rakyat merasakan pakej ikrar Mursi dijanjikan beliau ketika kempen pilihan raya presiden pada tahun lalu gagal ditepati dalam tempoh singkat  walaupun pemimpin tersebut cuba sedaya upaya untuk memuaskan hati semua pihak.

Tentera menggunakan peluang tersebut untuk campur tangan dan memperoleh sokongan walaupun sebelum ini mereka pernah mencetuskan huru-hara selepas mengambil alih pemerintahan secara sementara kira-kira dua tahun lalu.


Rancangan tentera

Apabila pemerintah tertinggi tentera, Jeneral Abdel Fattah al-Sisi mengumumkan Perlembagaan digantung dan hala tuju beliau kononnya untuk kembali kepada pemerintahan demokrasi, Abdel Fattah dilihat seakan berhati-hati supaya tidak membuat kesilapan sama seperti sebelum ini.

Tidak seperti bekas Menteri Pertahanan era pemerintahan Mubarak, Hussein Tantawi yang melantik dirinya sebagai pengganti bekas pemimpin itu.

Jeneral Abdel Fattah melantik Ketua Mahkamah Tinggi Perlembagaan, Adli Mansour sebagai pemimpin sementara.

Selain itu, Abdel Fattah turut memaklumkan kerajaan teknokrat akan membantu Adli hingga Pilihan Raya Presiden dan Parlimen diadakan.

Dalam ucapannya disiarkan menerusi stesen televisyen tempatan, Jeneral tersebut juga menyatakan secara simbolik bahawa beliau akan memastikan pemimpin politik dan agama sentiasa berdiri di sisinya.

Difahamkan, Ketua Universiti al-Azhar dan Paus Kristian Koptik turut menyokong beliau selepas insiden keganasan etnik yang semakin meningkat di negara itu.

Ketua blok pembangkang liberal utama, Mohammed ElBaradei juga menyatakan tuntutan rakyat telah dipenuhi dan revolusi 2011 dilancarkan semula.

Bagaimanapun, penyokong Mursi yang tidak henti-henti menyokong beliau seakan tidak dapat menerima nasib yang menimpa pemimpin mereka.

Mereka melihat ia sebagai satu rampasan kuasa yang jelas dan dianggap sebagai tindakan melemahkan demokrasi.

Beberapa penganalisis mula menyatakan kebimbangan mereka terhadap campur tangan tentera di rantau tersebut.

Walaupun penglibatan tentera dalam politik di Turki tidak secara menyeluruh, mereka pernah merampas kuasa sebanyak empat kali.

Di Algeria, lebih 150,000 terbunuh dalam perang saudara selepas tentera membatalkan keputusan pilihan raya yang dimenangi parti Islam pada 1992.

Sejak beberapa hari lalu juga menunjukkan satu peringatan jelas bahawa tentera Mesir adalah satu institusi kuat di negara tersebut yang mengukuhkan peranan mereka sebagai ‘penjaga nilai sekular’.

Pada masa ini, banyak pihak bergantung dengan tentera yang diharap dapat memulihkan keadaan tanpa melibatkan pertumpahan darah dan disusuli dengan mengotakan janji mereka termasuk mengemudi Mesir untuk mengharungi cabaran akan datang.

Tugas utama kerajaan yang tidak dapat dilaksanakan di bawah pemerintahan Mursi adalah menangani krisis ekonomi termasuk pelaburan dan sektor pelancongan yang terus dilanda masalah akibat kesilapan pengurusan.

Inflasi juga telah meningkat dan masalah lain seperti bekalan kuasa elektrik dan bekalan bahan api masih tidak mencukupi hingga kini.

Kegagalan untuk menangani masalah seumpama itu hanya akan menyebabkan rakyat menjadi lebih kecewa dan kitaran protes akan terus melanda Mesir.

Adakah perkembangan terbaru ini merupakan satu peluang kepada Mesir untuk mencetuskan kembali revolusi atau membawa kepada keganasan lebih buruk di negara itu?