Sunday, August 4, 2013

Amnesty gesa penyokong Mursi disiasat


beribu-ribu penyokong Mursi membawa poster gambar Mursi semasa mengadakan tunjuk perasaan di Kaherah, kelmarin. - AFP
KAHERAH 3 Ogos - Kumpulan hak asasi manusia Amnesty International, semalam menggesa satu siasatan segera dijalankan terhadap dakwaan penyokong bekas Presiden Mesir yang digulingkan, Mohammed Mursi menyeksa penyokong parti lawan di sini.
''Bukti termasuk pengakuan daripada mereka yang terselamat menunjukkan penyokong Mursi menyeksa individu daripada sebuah kem parti politik lawan,'' dakwa kumpulan itu dalam satu kenyataan.
Amnesty International berkata, penentang pemimpin Islam itu melaporkan telah 'ditangkap, dipukul dan terdedah kepada kejutan elektrik atau ditikam oleh individu yang setia kepada bekas Presiden itu.
''Dakwaan berlaku penyeksaan oleh beberapa individu adalah amat serius dan mesti disiasat dengan segera,'' kata Timbalan Pengarah kumpulan itu bagi Asia Barat dan Afrika Utara, Hassiba Hadj Sahraoui.
Dalam perkembangan berasingan, penyokong Mursi terus mengadakan perhimpunan semalam dan bertempur dengan polis di Kaherah selepas kerajaan mengarahkan kem bantahan mereka dimusnahkan.
Polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan peluru penabur ke arah kira-kira 1,000 penunjuk perasaan pro-Mursi yang cuba membina sebuah kem bantahan baharu di luar perkarangan yang menempatkan stesen televisyen negara.
Penyokong Mursi yang mula berhimpun selepas solat Jumaat bertindak membalas tindakan polis dengan melontar batu.
Pertempuran berlaku ketika Penolong Setiausaha Amerika Syarikat (AS), William Burns berada di Kaherah dalam misi antarabangsa untuk mendesak penyokong Mursi dan kerajaan sementara menyelesaikan konflik secara aman.
Sementara itu, pemimpin al-Qaeda, Ayman al-Zawahri menggesa pergerakan Ikhwanul Muslimin dan penyokongnya supaya menolak demokrasi serta cuba untuk mentadbir Mesir dengan pelaksanaan penuh undang-undang Islam.
Dalam rakaman selama 15 minit yang dimuat naik di dalam laman web kumpulan itu, Ayman turut mengkritik pemimpin Islam yang membentuk parti politik di Mesir dan menyokong rampasan kuasa tentera yang menggulingkan bekas Presiden, Mursi. - AFP/REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130804/lu_02/Amnesty-gesa-penyokong-Mursi-disiasat#ixzz2b02yKRDV
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment