Sunday, August 4, 2013

Gesa tunjuk perasaan baharu


PENYOKONG Mohammed Mursi duduk di luar Masjid Rabaa al-Adawiya, lokasi mereka mendirikan khemah dan mengadakan perhimpunan setiap hari bagi membantah penyingkiran bekas Presiden itu di Nasr City, Kaherah, kelmarin. - AGENSI
KAHERAH 2 Ogos - Penyokong bekas Presiden Mohamed Mursi, hari ini menggesa agar satu tunjuk perasaan besar-besaran diadakan selepas solat Jumaat, sekali gus menimbulkan kebimbangan tercetusnya sekali lagi pertumpahan darah di negara ini.
Gesaan tunjuk perasaan itu dibuat selepas Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry menyifatkan bahawa tindakan tentera Mesir menggulingkan Mursi dibuat atas permintaan berjuta-juta penduduk Mesir.
Jurucakap kumpulan penyokong Mursi, Allaa Mostafa berkata, penunjuk perasaan akan meneruskan demonstrasi secara aman sambil menjanjikan tidak akan berlaku sebarang keganasan.
Penyokong Mursi menolak tawaran Kementerian Dalam Negeri Mesir, semalam untuk 'memberi jalan selamat' sekiranya mereka menghentikan tunjuk perasaan, terutamanya di sekitar Dataran Rabaa al-Adawiya dan Nahda, di Kaherah.
Akhbar Al-Ahram melaporkan, pasukan polis telah menyediakan perancangan untuk mengawal dan menghalang tunjuk perasaan tersebut.
Lebih 250 orang terbunuh sejak Mursi digulingkan pada 3 Julai lalu dalam beberapa siri tunjuk perasaan ganas di seluruh negara.
Sementara itu, wakil Kesatuan Eropah (EU) di Asia Barat, Bernardino Leon yang tiba di Kaherah, semalam dan Menteri Luar Jerman, Guido Westerwelle akan meneruskan usaha damai bagi mencari penyelesaian kepada konflik yang berlaku di negara ini. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130803/lu_02/Gesa-tunjuk-perasaan-baharu#ixzz2b06hUH53
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment