Sunday, August 4, 2013

Jenayah Berat: Tambah anggota polis belum tentu selesai kes.



KUALA LUMPUR - Meningkatkan bilangan anggota polis dan mempertimbangkan pembelian peralatan baru seperti litar kamera tertutup (CCTV) sahaja, tidak akan menyelesaikan kes jenayah berat membabitkan senjata api di negara ini.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Mohd Azmi Abdul Hamid berkata ini kerana keutamaan terlebih dahulu harus diberi kepada usaha memperketatkan pengawasan di sempadan.

"Kita lihat bajet untuk menambahkan bilangan anggota polis dan kemudahan anggota-anggota itu banyak diberikan oleh kerajaan sebelum ini, namun jenayah berat seperti tembak-menembak tetap juga berlaku.

"Ia menunjukkan ada ruang yang perlu diperbaiki dan sebagai contoh pembelian senjata api dari negara jiran bagaimana ia boleh lolos ke negara ini...kita kena fikir juga bagi mempertingkatkan usaha membanteras," katanya kepada pemberita sebagai mengulas kejadian tembak yang sering dilapor kebelakangan ini termasuk melibatkan individu berprofil tinggi.


Isnin lepas lepas, Pengasas Arab Malaysian Bank, Hussain Ahmad Najadi maut manakala isterinya cedera ditembak dari jarak dekat di parkir kereta selepas keluar dari sebuah tokong Cina, Kuan Yin Temple, di Lorong Ceylon, di ibu negara.

Kejadian itu berlaku dua hari selepas aktivis antijenayah yang juga Pengerusi MyWatch R. Sri Sanjeevan cedera ditembak di persimpangan berdekatan Taman Awana Indah, Jempol, Negeri Sembilan.

Mohd Azmi berkata seperti negara luar, polis di negara ini juga perlu mengamalkan konsep 'deterence' (cegah lintang) kerana kaedah konvensional yang dipraktikkan mereka dalam mencegah jenayah kini tidak lagi berkesan memerangi isu itu.

"Di Malaysia, polisi polis untuk membendung kes tembak tidak begitu proaktif, mereka seharusnya lebih matang dan berfikir ke arah 'deterence' kerana deterence ialah konsep yang boleh menakutkan penjenayah," katanya.

No comments:

Post a Comment