Friday, August 16, 2013

Kanak-kanak dilarikan kekasih ibu: Mahu lupa kejadian pahit


2013/08/16
 
Hulu Selangor: “Alhamdulillah, berkat Ramadan dan Aidilfitri, Wan Aisyah Wan Exzam, 3, selamat,” luah ibu saudara kanak-kanak itu, yang mahu dikenali sebagai Nazirah.

Wanita itu yang ditemui di rumahnya di Taman Juta, di sini, semalam, berkata mereka sekeluarga bersyukur walaupun diuji dengan insiden berkenaan selama beberapa hari, anak saudaranya selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mereka sekeluarga juga seboleh mungkin tidak mahu mengingati lagi kejadian itu, malah Wan Aisyah dan ibunya, Arbaiyah Mohd Zin, kembali ceria.

Mereka juga seolah-olah mampu melupakan kejadian pahit itu.

Dijaga bapa kandung

“Kami sedar, ramai yang marah dengan kejadian itu, terutama bila Wan Aisyah diserahkan sendiri oleh ibunya kepada lelaki terbabit.

“Bagaimanapun, kita tidak tahu apa yang di sebaliknya dan menganggap setiap perkara ada hikmahnya.
“Wan Aisyah kini berada dalam jagaan bapa kandungnya buat sementara waktu dan sentiasa mengunjungi ibunya di sini. Saya juga berharap pihak media tidak mengganggu kakak saya kerana sebagai seorang ibu (Arbaiyah), dia juga tidak mahu perkara seperti itu berlaku,” katanya.

Wan Aisyah yang dilaporkan hilang selepas didakwa dilarikan teman lelaki ibunya di Rawang, Selangor, pada 2 Ogos lalu, ditemui di Georgetown, Pulau Pinang, tiga hari kemudian.

Wan Aisyah diserahkan kepada polis oleh ibu lelaki terbabit kira-kira jam 11.30 pagi di Balai Polis Sungai Nibong, Pulau Pinang. Nazirah berkata, dia sekeluarga tidak mengenali dan tidak pernah berjumpa lelaki berusia 44 tahun itu, sebaliknya hanya mendengar cerita melalui Arbaiyah.

“Selepas kejadian itu, kakak saya terpaksa menukar nombor telefon kerana lelaki terbabit sering mengganggunya berikutan marah dengan laporan polis mengatakan Wan Aisyah dilarikan,” katanya.

No comments:

Post a Comment