Friday, August 16, 2013

Pembunuhan beramai-ramai boleh dielak - ElBaradei


KAHERAH 15 Ogos - Naib Presiden Mesir, Mohammed ElBaradei semalam mengumumkan peletakan jawatannya dalam sepucuk surat kepada Presiden sementara, Adly Mansour selepas operasi pembersihan ke atas dua buah kem utama penunjuk perasaan pro-bekas Presiden yang digulingkan, Mohammed Mursi.
“Keadaan sudah menjadi terlalu sukar untuk saya terus menanggung tanggungjawab ke atas keputusan yang tidak saya persetujui dan kesannya membimbangkan saya,’’ katanya.
ElBaradei berkata, beliau tidak dapat menerima kehilangan jiwa tersebut kerana tragedi semalam boleh dielakkan.
“Mereka yang mencapai sebarang faedah ke atas apa yang berlaku hari ini (semalam) merupakan mereka yang meminta keganasan berlaku iaitu kumpulan pelampau,’’ katanya.
Kementerian Kesihatan Mesir hari ini mengumumkan sekurang-kurangnya 525 orang termasuk 421 orang awam dan 43 anggota polis terbunuh dalam kejadian semalam.
Bagaimanapun, jurucakap pergerakan Ikhwanul Muslimin, Gehad El-Haddad semalam berkata, kira-kira 2,200 orang maut dan lebih 10,000 orang lain cedera.
Dalam pada itu, Imam Besar al-Azhar, Sheikh Ahmed al-Tayeb semalam menyatakan beliau hanya tahu mengenai kejadian tersebut melalui laporan media.
Tayeb menegaskan beliau menolak sebarang tindakan keganasan dan pertumpahan berdarah kerana ia bukan alternatif kepada pilihan politik.
Beliau turut melahirkan rasa kecewa dengan kematian sejumlah mangsa.
“Saya juga meminta semua pihak tidak melibatkan Universiti al-Azhar dalam kejadian seumpama ini,’’ katanya dalam satu kenyataan. - AFP/AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130816/lu_04/Pembunuhan-beramai-ramai-boleh-dielak---ElBaradei#ixzz2c5jpYtqE
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment