Thursday, August 15, 2013

Kekejaman Mesir dikecam

Kekejaman Mesir dikecam:

Seorang wanita duduk meratapi kematian anak perempuannya, ketika jenazah-jenazah yang telah dikapankan disusun di sebuah masjid di Kaherah, Mesir, semalam. - AFP
WASHINGTON 15 Ogos - Dunia semalam terus mengecam tindakan kekerasan yang diambil oleh pasukan keselamatan Mesir ke atas penyokong bekas Presiden Mohammed Mursi yang digulingkan, yang menyebabkan kira-kira 2,200 orang maut serta 10,000 yang lain cedera.
White House dalam kenyataannya mengutuk keganasan itu serta pengisytiharan semula darurat di Mesir dan memberi amaran kepada kerajaan sementara yang disokong oleh tentera bahawa ‘dunia sedang memperhatikan mereka’.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry menyifatkan keganasan terbaharu itu sebagai ‘satu tamparan besar’ kepada usaha perdamaian di Mesir.
Perdana Menteri Britain, David Cameron mengutuk kejadian pembunuhan beramai-ramai tersebut dengan menyatakan negaranya tidak menyokong keganasan seumpama itu.
“Kami mengutuk sepenuhnya kejadian ini, ia tidak akan membantu menyelesaikan sebarang masalah,’’ katanya.
Menteri Luar Australia, Bob Carr turut mengutuk keganasan tersebut dan meminta semua pihak terbabit dalam kejadian itu untuk bertenang.
“Pertumpahan darah yang berlaku di Mesir merupakan satu kejadian tragik,’’ katanya.
Menteri Luar Jerman, Guido Westerwelle dalam pada itu menyuarakan ‘kebimbangan serius’ berhubung keganasan di negara tersebut.
Beliau secara tidak langsung turut mengkritik kepemimpinan kerajaan sementara kerana melancarkan tindakan kekerasan ke atas pengikut Ikhwanul Muslimin dan pada masa sama menggesa supaya keganasan dihentikan.
Steffen Seibert, jurucakap kepada Canselor Jerman, Angela Merkel pula menggesa supaya hak asasi, kebebasan pegangan politik dan keyakinan rakyat Mesir dihormati.
Di Itali, Menteri Luarnya, Emma Bonino merayu supaya semua pihak di Mesir dengan segera berhenti melakukan keganasan serta mengelak pertumpahan darah.
Beliau turut menyuarakan rasa sedih di atas kehilangan banyak nyawa dalam insiden pembersihan dua kem utama penunjuk perasan pro-Mursi di Dataran Rabaa al-Adawiya dan al-Nahda itu, semalam.
Parti pembangkang di Jordan, Barisan Tindakan Islam (IAF) turut mengecam tindakan kekerasan tersebut dan menggesa rakyat Mesir mengadakan tunjuk perasaan mengutuk perbuatan itu.
“Ini adalah konspirasi oleh bekas rejim Mesir yang menyebabkan nyawa mereka yang tidak bersalah turut menjadi korban.
“Nasib Mesir dan semua negara Arab serta Islam akan ditentukan oleh tindakan anda (penyokong Mursi) dan jangan biarkan golongan yang merampas kuasa, Zionis dan AS memenangi peperangan ini," kata parti yang merupakan sayap politik Ikhwanul Muslimin Jordan itu dalam satu kenyataan. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130816/lu_01/Kekejaman-Mesir-dikecam#ixzz2cBrE5c9I
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment