Thursday, August 15, 2013

Pembunuhan beramai-ramai



Mayat penyokong Mohammed Mursi yang terbunuh selepas digempur pasukan tentera Mesir, semalam.
KAHERAH 14 Ogos - Kira-kira 2,200 maut, sementara lebih 10,000 yang lain cedera selepas pasukan keselamatan Mesir bertindak melancarkan operasi pembersihan di dua buah kem utama penunjuk perasaan pro-bekas Presiden yang digulingkan, Mohammed Mursi di sini, hari ini.
Angka tersebut dikeluarkan pergerakan Ikhwanul Muslimin oleh jurucakapnya, Gehad El-Haddad menerusi akaun Twitter beliau.
Al-Jazeera menyatakan, seramai 94 maut akibat operasi tersebut, sementara Reuters pula meletakkan angka korban sebanyak 95 orang.
Dalam tindakan kekerasan terbaharu hari ini, pasukan keselamatan yang disokong dengan kereta perisai, helikopter, penembak tepat serta jentolak bertindak menggempur kem penyokong Mursi di Dataran Rabaa al-Adawiya dan Dataran al- Nahda di Kaherah.
Mereka menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan dan bunyi tembakan turut kedengaran, lapor televisyen dan pegawai keselamatan.
Seorang koresponden AFP di bilik mayat di kem Rabaa al-Adawiya berkata, kebanyakan mangsa maut akibat terkena tembakan.
Ikhwanul Muslimin dalam pada itu menggesa rakyat Mesir beramai- ramai turun ke jalan raya bagi mengecam ‘pembunuhan beramai-ramai’ tersebut.
“Ini bukanlah cubaan untuk menyuraikan penunjuk perasaan, tetapi cubaan berdarah untuk menghapuskan semua suara yang menentang rampasan kuasa oleh tentera," tulis Haddad dalam Twitternya.
Di kem penunjuk perasaan di Rabaa al-Adawiya, tempat beberapa pemimpin Ikhwanul Muslimin berkumpul, pertempuran sengit berlaku dengan bunyi tembakan kedengaran.
Pasukan keselamatan mengelilingi kem tersebut sejak awal pagi tadi sebelum melepaskan gas pemedih mata dan menggempur beribu- ribu penunjuk perasan pro-Mursi.
“Ini adalah permulaan kepada operasi untuk menyuraikan penunjuk perasaan," kata seorang pegawai keselamatan sambil mengesahkan langkah sama turut diambil di Dataran al-Nahda. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130815/lu_01/Pembunuhan-beramai-ramai#ixzz2bzaZpYwp
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment