• Md Ali menunjukkan anugerah yang diterima bersama barangan kitar semula yang dikutipnyaMd Ali menunjukkan anugerah yang diterima bersama barangan kitar semula yang dikutipnya

PENDANG - Kecintaan terhadap alam sekitar mendorong seorang warga emas mengutip barangan terbuang di sekitar daerah ini untuk dikitar semula selain menjaga keindahan alam sekitar.

Md Ali @ Hassan Awang berkata, minatnya mengutip barangan kitar semula seperti tin kosong, kertas dan plastik timbul sejak 25 tahun lalu selepas isterinya melahirkan anak yang ketiga.

Menurutnya, aktiviti kitar semula ini bukan hanya dapat memelihara alam sekitar malah hasil daripada jualan barangan kitar semula juga dapat memberi pendapatan.

"Saya menyokong seruan kerajaan negeri menyasar meningkatkan kadar kitar semula daripada tiga peratus kepada 22 peratus menjelang tahun 2020 selaras dengan tahap kesedaran kitar semula yang ditetapkan oleh kerajaan pusat.

“Namun begitu, saya mencadangkan supaya dinaikkan harga barangan terbuang seperti tin-tin kosong ini kepada harga yang lebih tinggi sama seperti dahulu supaya orang ramai mempunyai kesedaran menjaga alam sekitar selain menjadi sumber pendapatan kepada
golongan yang tertentu,” katanya.

Md Ali berkata, dia pernah mendapat anugerah alam sekitar dari Ford Motor Company pada tahun 2000 kerana minatnya yang suka mengumpul barangan kitar semula demi menjaga alam sekitar.

"Diharap orang ramai turut mengamalkan amalan kitar semula agar negara lebih terpelihara dan terhindar dari penyakit berbahaya.

“Kita perlu tahu betapa pentingnya menjaga alam sekitar selain mengamalkan budaya kitar semula agar menjadi amalan dalam kehidupan,” katanya.