• Khalid IbrahimKhalid Ibrahim

SHAH ALAM – Penganalisis melihat jawatan Menteri Besar Selangor perlu diberi kepada pemimpin yang mempunyai kedudukan tinggi dalam parti.
 
Timbalan Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Prof Dr Jayum Jawan berkata, selain berkedudukan tinggi dalam parti, pemimpin tersebut juga perlu direstui oleh kesemua parti komponen.
 
“Pengganti menteri besar sekarang seharusnya mempunyai kedudukan paling kanan dalam parti. Maksud saya, paling tidak pun beliau Timbalan Presiden, Naib Presiden ataupun Setiausaha Agung.
 
“Kalau tak silap saya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (Menteri Besar Selangor) tiada kedudukan tinggi dalam parti. Peringkat nasional, dia bukan Timbalan Presiden, bukan Naib Presiden,” katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.
 
Beliau juga tidak menolak ura-ura yang menyebut kemungkinan jawatan itu diserahkan kepada Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ataupun Timbalannya, Azmin Ali.
 
“Boleh jadi tapi saya tidak pasti sama ada Presiden PKR mahukan kedudukan itu. Tapi yang digembar-gemburkan sebelum ini, Timbalan Presidennya, Azmin yang ada harapan mahukan jawatan itu.
 
“Saya rasa kalau PR menang Persekutuan, jawatan MB itu kecil sangat untuk Azmin. Saya rasa dia tak mahu jawatan itu. Tapi sekarang itu pilihan terbaiklah,” katanya.
 
Sementara Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, sekiranya Abdul Khalid sudah tidak menerima sokongan daripada parti termasuk Exco dan Adun, pertukaran menteri besar memang tidak dapat dielakkan.
 
“Kalau tiada sokongan daripada Adun, Exco dan rakyat terhadap Tan Sri Khalid, saya rasa kena ada pertukaran MB.
 
“Mungkin dia boleh undur diri atau kalau beliau tidak mahu berundur, paling teruk pun Adun buat undi tidak percaya,” katanya.
 
Beliau turut berpendapat pemimpin yang bakal mengganti Abdul Khalid perlu diterima semua parti komponen dalam PR termasuk Pas dan DAP.
 
“Orang yang nak ganti Abdul Khalid ini perlu diterima semua orang termasuk mendapat sokongan bukan saja PKR tapi juga Pas dan DAP.
 
“Persoalannya sekarang ini, siapa yang layak menggantikan Abdul Khalid? Ada yang kata Azmin, tapi ada yang boleh terima dan ada yang tidak boleh terima dia. Kalau Wan Azizah semua orang boleh terima dia tapi mampu tak jadi Menteri Besar? Kalau bukan mereka berdua, kena lihat pemimpin lain yang sesuai,” katanya.
 
Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Maszlee Malik melihat khabar yang beredar tentang pertukaran Menteri Besar itu bukan kerana prestasi pentadbiran Abdul Khalid sebaliknya bergantung pada parti yang memerintah.
 
“Setakat yang kita lihat penggal yang lalu, Abdul Khalid telah melakukan yang terbaik dan ekonomi Selangor menunjukkan peningkatan berbanding ketika di bawah pemerintahan BN.
 
“Kadang-kadang pertukaran Menteri Besar ini bukan kerana kegagalan pentadbiran tapi kerana bagi parti yang memerintah, mereka mungkin melihat ada kualiti yang lebih baik pada orang lain untuk ganti Menteri Besar sedia ada.
 
“Kita letak harapan, siapa pun yang mereka nak lantik akan dapat menerajui Selangor lebih baik daripada apa yang telah dilakukan oleh Abdul Khalid sendiri,” katanya.