Sunday, June 29, 2014

Kepala lembu berdarah ditinggalkan di depan rumah Rayer


PULAU PINANG 28 Jun - Kepala lembu yang masih berdarah ditemui di hadapan pagar rumah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, RSN Rayer di Tingkat Tembaga, Island Park, di sini hari ini.
Rayer berkata, kepala lembu yang sudah disiat kulit itu ditemui seorang lelaki yang kebetulan melalui rumah ADUN berkenaan kira-kira pukul 7 pagi, sebelum memaklumkan kepada isterinya.
"Saya lalu menghubungi polis bagi melaporkan kejadian berkenaan dan turut memaklumkan kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng," katanya kepada pemberita di rumahnya di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Farid Aalthrash Wahid yang berada di tempat kejadian berkata, rakaman kamera litar tertutup di rumah Rayer menunjukkan kepala lembu tersebut diletakkan seorang lelaki yang datang menaiki motosikal.
"Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan suspek untuk siasatan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kegusaran dalam agama," ujarnya.
Rayer sebelum ini mencetuskan kontroversi selepas melabelkan UMNO sebagai ‘celaka’ dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ne­geri bulan lalu serta mengulanginya di pentas ceramah DAP.
Sementara itu, Naib Presi­den UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan penemuan kepala lembu di hadapan rumah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, RSN Rayer di Green Lane, Pulau Pinang hari ini sebagai ‘harga yang perlu dibayar’ jika bermulut celupar.
"Sebagai seorang ahli politik, saya bersimpati dengan apa yang telah beliau hadapi tetapi itulah harga yang terpaksa dibayar jika mulut celupar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Latihan Pengawal Keselamatan Bertauliah (CSG) di Maktab Polis Diraja Malaysia, Kuala Kubu Bharu, di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai insiden penemuan kepala lembu yang masih berdarah di kediaman Rayer kira-kira pukul 7 pagi ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140629/je_04/Kepala-lembu-berdarah-ditinggalkan-di-depan-rumah-Rayer#ixzz35yKBpEr2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment