Tuesday, July 22, 2014

MH17: PBB digesa keluar akses bebas, selamat


BERNAMA | .
KUALA LUMPUR: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) digesa mengeluarkan resolusi bagi akses bebas, terbuka dan selamat di kawasan pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine.

Geostrategis Prof Dr Azmi Hassan berkata Majlis Keselamatan hanya membuat kenyataan yang disifatkannya longgar dan tidak spesifik tentang perkara berkenaan pada satu mesyuarat tergempar baru-baru ini.
  
"Kenyataan itu antara lain menyeru supaya badan penyiasat antarabangsa ditubuhkan untuk menyiasat, tetapi setakat ini tidak memberi penekanan supaya Rusia mengawal pihak pemisah pro negara itu yang menguasai wilayah berkenaan.
  
"Jadi Majlis Keselamatan harus mengeluarkan resolusi secara spesifik untuk memaksa pihak pemisah membuka laluan di kawasan terhempas yang terletak dekat sempadan Rusia," katanya ketika dihubungi Bernama.
  
Beliau berkata sukar bagi Majlis Keselamatan mengeluarkan resolusi yang lebih tegas kerana khuatir pihak yang berkepentingan seperti Rusia dan Amerika Syarikat akan menggunakan kuasa veto mereka.
      
Azmi berkata mengikut peraturan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), kerajaan di negara kemalangan itu berlaku mempunyai bidang kuasa ke atas bangkai pesawat dan akan mengetuai siasatan.
  
"Tetapi, Ukraine adalah pihak yang berkepentingan kerana mereka mempunyai agenda politik dalam krisis ini, jadi saya risau Ukraine tidak boleh jadi ketua penyiasat yang tidak 'bias' (berat sebelah).
  
"Kita perlukan ketua penyiasat yang berkecuali, dalam hal ini jika Ukraine dibiarkan menjadi ketua penyiasat, negara lain perlu turut serta untuk mengimbangi pengaruh Ukraine," katanya.
  
MH17, yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal, dipercayai ditembak jatuh oleh kumpulan pemisah di wilayah Donetsk, bahagian timur Ukraine, ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
  
Pesawat Boeing 777-200ER itu berlepas dari Amsterdam pada pukul 12.15 tengah hari (waktu Belanda) Khamis dan dijadual mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 6.10 pagi (waktu Malaysia) hari berikutnya. 
  
Setakat ini, pasukan siasatan khas Malaysia belum diberi laluan untuk memasuki kawasan pesawat terhempas.  
  
Pensyarah Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Md Shukri Shuib berkata Majlis Keselamatan perlu menggunakan pengaruh dan kedudukannya untuk membolehkan pasukan penyiasat terutamanya dari Malaysia untuk masuk ke kawasan terlibat, bukan sahaja untuk mengumpul bahan bukti, tetapi untuk menguruskan mayat mangsa.
  
"Kita minta Rusia mendesak kepada pihak yang pro kepadanya di Donetsk itu menghormati Malaysia sebagai pemilik  MH17," tegasnya.
  
Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa UUM Mohamad Faisol Keling pula berkata Malaysia harus mengetuai siasatan sambil dibantu oleh badan-badan antarabangsa yang diiktiraf dan berkecuali bagi mengelak siasatan berat sebelah dan masalah kehilangan bukti nahas.
  
"Kita hendak elak dari berlakunya bias (berat sebalah), sembunyikan fakta dan bukti kerana Malaysia perlukan keadilan, dalam konteks ini Malaysia dan negara lain menjadi mangsa," katanya.
  
Mohamad Faisol berkata Ukraine dan Rusia mempunyai kepentingan terhadap insiden ini kerana mereka saling tidak mengaku bertanggungjawab terhadap kejadian yang dikatakan pesawat itu ditembak jatuh oleh kumpulan pemberontak.  
  
"PBB mungkin boleh arahkan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) untuk memberi jaminan keselamatan terhadap pasukan penyiasat berbanding menunggu kata putus dari kedua-dua negara yang main tarik tali, dalam masa yang sama bahan bukti semakin terhapus," katanya.
  
Mengenai impak hubungan dua hala antara Malaysia dengan Ukraine dan Rusia, beliau berkata Malaysia boleh mengguna pakai konsep 'balance of power' yang diperkenalkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 90-an.
  
Pensyarah Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik, Universiti Malaya (UM) Prof Datuk Dr Mohamad Abu Bakar pula berkata laluan masuk yang digunakan pasukan siasatan melalui Kiev, Ukraine adalah sukar kerana pemberontak proRusia melihat mereka seperti musuh.
  
Katanya sekiranya PBB mengenakan tekanan kepada semua pihak termasuk Rusia untuk memberi kerjasama kepada pasukan penyiasat termasuk dari Malaysia dan Belanda, mungkin kerumitan menjalankan siasatan dapat dipermudahkan.
  
"Mereka ini (puak pemisah) sensitif, pertama kerana mereka ingin menjelaskan kepada dunia bahawa kawasan itu kepunyaan mereka dan mahu diiktiraf.  
  
"Kedua, mereka juga sensitif seandainya kawasan mereka dimasuki, mungkin kehadiran mereka dengan kelengkapan pertahanan diketahui pihak lain dan pada masa yang sama mereka juga ingin mempopularkan perjuangan mereka," kata Mohamad.
  
Sementara itu, Felo Kanan S.Rajaratnam School of International Studies di Singapura, Dr Oh Ei Sun berkata untuk pergi ke tapak nahas dan mengumpulkan bukti, Malaysia tidak boleh melakukannya secara sendirian tetapi perlu bekerjasama dengan negara yang turut terjejas seperti Belanda dan badan berkecuali.
  
"Jika terbukti bahawa ada antara pihak atau negara yang disyaki itu sebenarnya terlibat dalam menembak jatuh MH17, sama ada secara sengaja atau tidak sengaja, sudah tentu hubungan Malaysia dengan negara terbabit akan terjejas, mungkin ke tahap memanggil balik dutanya," kata Dr Oh yang merupakan warga Malaysia.
  
Beliau berkata sudah tiba masanya untuk Malaysia menimbangkan semula dasar berkecualinya dalam hal ehwal global.
  
"Kita (Malaysia) telah cuba menjadi rakan kepada semua orang, tetapi apabila insiden seperti ini berlaku, kita tidak dapat mengelak bahawa ada kalanya kita perlu bijak menilai siapa rakan kita dan siapa yang kita boleh harapkan," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment