Tuesday, July 22, 2014

Putin minta kumpulan pro-Rusia benarkan penyiasat masuki lokasi nahas



REUTERS - BEBERAPA anggota Pertubuhan Keselamatan dan kerjasama Eropah melawat lokasi nahas sebuah pesawat Penerbangan Malaysia dekat Grabovo, Donetsk semalam.


MOSCOW – Presiden Rusia, Vladimir Putin semalam menyatakan insiden sebuah pesawat Penerbangan Malaysia, (MAS) ditembak jatuh di timur Ukraine tidak boleh digunakan untuk kepentingan politik sekali gus menggesa kumpulan pemisah agar membenarkan pakar-pakar antarabangsa memasuki lokasi nahas.
“Apa sahaja mesti dilakukan untuk menjamin keselamatan pakar-pakar antarabangsa di lokasi tragedi itu,” kata Putin dalam satu ucapan yang disiarkan stesen televisyen Rusia.
Putin yang kelihatan cengkung mengulangi pendiriannya bahawa tragedi MH17 tidak akan berlaku sekiranya tentera Ukraine menamatkan kempen memerangi kumpulan pemisah pro-Rusia di timur Ukraine.

REUTERS - SERPIHAN pesawat Penerbangan Malaysia kelihatan di lokasi nahas dekat Grabovo semalam.


“Namun, tiada sesiapa yang berhak untuk menggunakan tragedi ini demi mencapai kepentingan dan motif politik. Peristiwa seperti ini wajar menyatukan rakyat dan bukan memecahbelahkan mereka,” katanya.
Komen Putin itu dibuat untuk menepis kritikan Barat yang mengecamnya kerana enggan memujuk kumpulan pemisah pro-Rusia yang dipercayai menembak pesawat Malaysia dengan menggunakan peluru berpandu meletakkan senjata.
Dalam ucapannya, Putin turut mempertahankan peranannya berhubung krisis Ukraine dan mengulangi gesaan supaya pertempuran di timur negara itu dihentikan.
“Kami pernah meminta semua pihak yang terlibat dalam konflik itu supaya segera menghentikan pertumpahan darah dan memulakan rundingan,” ujar Putin.
Beliau juga mahu satu koridor kemanusiaan diwujudkan bagi membolehkan pakar-pakar memasuki lokasi nahas MH17 yang meragut nyawa 298 orang yang menaiki pesawat tersebut. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0722&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm#ixzz3894uvFwJ 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment