SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim seolah-olah mahu mengakhiri perjuangan dalam mempertahankan jawatan yang disandangnya selama ini.

Menerusi ucapan di Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan Negeri Selangor hari ini, beliau berharap semua pihak meneruskan usaha dalam melaksanakan tugasan yang diberikan.

“Saya amat berharap legasi yang saya tinggalkan adalah termasuk mengembalikan aset air kembali kepada rakyat.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada pegawai yang sehingga kini bersama saya dalam usaha bersama untuk menjayakan agenda reformasi di Selangor,” katanya.

Mengulas mengenai statusnya sebagai penyandang jawatan sebagai Menteri Besar Selangor, beliau berkata, kesemuanya akan diputus sebaik sahaja pertemuannya menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah petang esok.

“Dengan perkembangan terbaharu ini, saya akan memohon menghadap Sultan Selangor untuk memberi nasihat tentang langkah-langkah seterusnya.

"Saya menerima dengan hati terbuka perkembangan terkini berkenaan status menteri besar dan barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor,” jelasnya lagi.

Terdahulu, Abdul Khalid ditentang oleh majoriti 30 undi Adun negeri ini yang menandatangani surat Akuan Bersumpah menyatakan bahawa mereka telah hilang kepercayan terhadap pemerintahan Abdul Khalid.

Ekoran daripada hasil keputusan majoriti tersebut, kedudukan Abdul Khalid kini diancam oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang dicalonkan Pakatan Rakyat bagi merebut jawatan tersebut dari beliau.

Hanya dengan titah dan keputusan yang diberikan oleh Sultan Selangor sahaja boleh mengubah dan menentukan corak pemerintahan dan politik di negeri Selangor.

“...Saya ingin meninggalkan legasi seperti apa yang saya telah lakukan ketika saya mengetuai Permodalan Nasional Berhad dan kemudiannya Kumpulan Guthrie.

“Saya berfikir ketika itu, jika saya boleh meninggalkan legasi di kerajaan negeri Selangor, maka saya anggap saya telah berjaya,” ujarnya.