Monday, August 25, 2014

China sasar keluar sistem operasi sendiri, saingi Microsoft, Google

HTC bagaimanapun akan terus mengeluarkan versi Android bagi model One.
SHANGHAI: China dijangka mempunyai sistem operasi komputer sendiri menjelang Oktober ini untuk bersaing dengan Microsoft Corp, Google Inc dan Apple Inc, lapor agensi berita Xinhua.
Teknologi komputer adalah antara bidang yang mencetus ketegangan antara China dan Amerika Syarikat (AS) selepas beberapa isu yang timbul berkaitan keselamatan siber.
Dengan itu, China kini sedang membantu industri tempatan untuk bersaing dengan sistem import seperti Windows keluaran Microsoft dan sistem operasi mudah alih keluaran Google, Android.
Sistem operasi itu buat permulaan akan digunakan dalam peranti desktop dan kemudian diperluaskan kepada peranti telefon pintar dan mudah alih lain, lapor Xinhua dengan memetik Ni Guangnan yang mengetuai kumpulan pembangun OS, agensi rasmi yang ditubuh untuk membangunkan OS pada Mac lalu.
Kenyataan Ni pada asalnya dilaporkan dalam People's Post and Telecommunications News, akhbar perdagangan rasmi yang dikendalikan Kementerian Teknologi Maklumat dan Industri (MIIT).
"Kami menyasar melancar sistem operasi buatan China untuk desktop menjelang Oktober yang boleh menyokong app stores," katanya.
Beberapa OS China sudah ada di pasaran, tetapi ada jurang besar antara teknologi China dan yang dibangunkan negara maju, tambahnya.
Ni berkata, beliau berharap perisian tempatan akan mampu menggantikan sistem operasi desktop dalam tempoh satu hingga dua tahun dan sistem operasi mudah alih dalam tiga hingga lima tahun.
Pada Mei lalu, kerajaan China mengharamkan penggunaan Windows 8, sistem operasi terkini keluaran Microsoft, memberi tamparan hebat kepada perniagaan gergasi teknologi AS itu sekali gus membangkitkan kebimbangan langkah itu bertujuan melindungi perusahaan tempatan China. Microsoft kini juga sedang disiasat di bawah akta antimonopoli.
Mac lalu, China juga sudah mengeluarkan kenyataan bahawa Google mempunyai kawalan terlalu besar terhadap industri telefon pintar negara itu menerusi sistem operasi Android dan mendiskriminasi firma tempatan.
Kecurigaan antara China dan AS berhubung risiko penggodaman sudah meningkat sejak beberapa tahun lalu berikutan pendedahan Edward Snowden, penyiasat AS memasang peranti pemantauan dalam perkakasan buatan AS.
Sementara itu, Jabatan Kehakiman AS pula mendakwa lima pegawai tentera China pada Mei lalu atas dakwaan pengintipan perindustrian.
Mengikut Ni, pengharaman Window 8 adalah peluang besar kepada perusahaan China membangunkan sistem operasi sendiri tetapi industri itu perlukan pembangunan dan pelaburan tambahan.
"Mewujudkan persekitaran yang membolehkan kita bersaing dengan Google, Apple dan Microsoft adalah kunci kejayaan," katanya. - Reuters

No comments:

Post a Comment