• Isu MB Selangor: Siapa lebih layak?

KEMELUT di Selangor kian meruncing.Calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak diterima sebulat suara untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Spekulasi demi spekulasi timbul berikutan keengganan Abdul Khalid melepaskan jawatan nombor satu di negeri yang paling maju di Malaysia itu.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga menolak permohonan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk isterinya Wan Azizah menghadap baginda bagi memberi penerangan dan penjelasan mengenai keputusan PKR.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani dalam satu kenyataan media.

Namun Dr Wan Azizah tidak putus semangat. Buktinya, beliau berjaya mengumpul sokongan daripada 29 Adun termasuk dua daripada Pas untuk menguatkan kenyataan bahawa Abdul Khalid tewas kerana tidak mendapat undi majoriti.

Beliau menulis surat kedua memohon perkenan Sultan Selangor untuk menunjukkan bukti tersebut. Jika Sultan Selangor perkenan bertemu Dr Wan Azizah seterusnya mendengar butir bicara hingga membuatkan Sultan bertindak memanggil Abdul Khalid untuk peletakan jawatan, ini bermakna Dr Wan Azizah akan menjadi wanita pertama di negara ini memegang jawatan setinggi itu.

Siapa layak?

Namun, jika keputusan Sultan sebaliknya, siapa pula yang lebih layak menggantikan Dr Wan Azizah? Pelbagai spekulasi yang mengaitkan nama tertentu untuk jawatan tersebut.

Paling menjadi sebutan sudah pasti Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali. Mohamed Azmin sudah tidak asing di Selangor. Walaupun dilahirkan di Singapura, tetapi beliau dibesarkan di Selangor dan jalan cerita Selangor sudah berada dalam genggamannya.

Inilah tokoh kedua yang mungkin diangkat PKR. Menerusi keputusan tidak rasmi, Mohamed Azmin juga telah menang jawatan Timbalan Presiden PKR dengan majoriti yang agak tinggi.

Sudah pasti, ia memberi kelebihan buatnya yang memegang jawatan kedua tertinggi dalam parti mengalahkan Abdul Khalid dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Kredibiliti Mohamed Azmin sukar untuk disangkal kerana beliau mempunyai hubungan baik bersama Pas dan juga DAP. Tidak hairanlah menerusi laman Twitternya yang terkini, banyak dikongsi gambar-gambar bersama pemimpin Pas sebagai menunjukkan tidak wujud masalah antara mereka ini.

Timbalan Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Jayum Jawan berkata, Mohamed Azmin adalah calon utama selepas Dr Wan Azizah berdasarkan hierarki dalam parti.

“Hierarki dalam parti perlu dipatuhi dan diikuti apabila mereka menang. Mohamed Azmin juga mempunyai banyak pengalaman dalam arena politik serta disenangi semua pihak.

“Tambahan jika dilihat kepada kredibilitinya, Adun Bukit Antarabangsa itu masih muda, bertenaga dan punyai azam yang tinggi untuk menjayakan lagi Selangor,” katanya.

Menurutnya, sokongan majoriti 29 kerusi diumumkan Dr Wan Azizah kelmarin juga dijangka dapat dikekalkan sekiranya calon bertukar kepada Mohamed Azmin.

Tidak sekadar itu, PKR juga mempunyai pemimpin muda yang berkaliber, Nik Nazmi Nik Ahmad  yang memegang jawatan sebagai Timbalan Speaker Dun Selangor.

Nik Nazmi, sungguhpun kelahiran Kelantan, tetapi sudah bermastautin di Selangor agak lama dan merupakan pemimpin muda yang menjadi tunggak PKR.

Adakah dengan jawatan dan semangat kepimpinan ini mampu melonjakkan namanya memegang jawatan terbesar negeri?

Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosiobudaya, MPN, Prof Datuk Dr Zainal Kling pula berkata, Nik Nazmi boleh menjadi menteri besar sekiranya mendapat majoriti sokongan daripada semua Adun.

“Sesiapa sahaja boleh dicalonkan untuk jawatan tersebut jika mendapat majoriti sokongan.

“Jika mahu dilihat kepada kredibilitinya, banyak matlamat untuk negeri ini boleh dicapai kerana  beliau masih muda yang ada pengaruh besar kepada generasi sepertinya,” katanya.
Beza antara Mohamed Azmin dan Nik Nazmi hanyalah pengalaman.

Anwar  sudah ada nama pengganti?

Dalam pada itu, wujud satu lagi spekulasi yang menyebut nama Adun Ijok, Dr Idris Ahmad  menduduki kerusi panas itu.

Pemilihan Dr Idris dikatakan tepat kerana pemimpin ini tidak ada ‘ragam’ dan dilihat sebagai pemimpin tanpa kontroversi serta dihormati pemimpin PKR.

Namanya disebut dalam sebuah portal berita apabila Mursyidul Am Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI) Zahid Mat Arip berkata, Dr Wan Azizah tersingkir daripada tercalon sebagai peneraju negeri selepas Anwar memilih Dr Idris sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baru.

Keputusan tersebut bagi memastikan Pas terus menyokong PKR mendesak Abdul Khalid meletakkan jawatannya.

Bagaimanapun, Dr Idris ketika dihubungi menafikan dakwaan tersebut kerana tidak pernah dimaklumkan apa-apa mengenai hal itu.

“Saya tidak boleh memberi kenyataan kerana saya tidak tahu-menahu mengenai perkara ini (calon alternatif), jadi bagaimana saya hendak komen (dakwaan),” katanya.

Peluang Pas tonjolkan diri

Dalam usaha PKR mengekalkan kerusi Menteri Besar Selangor yang dipegang parti itu, satu lagi spekulasi timbul yang bakal memberi kejutan besar buat PR.

Pas dikatakan akan mengambil semula kerusi Menteri Besar Selangor tanpa mengorbankan diri keluar daripada PR. Cara bagaimana yang akan dilakukan, semua terjawab dalam mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) Pusat pada hari esok.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali dalam satu kenyataan berkata, kemelut yang melanda Selangor sudah lama berlaku, tidak mungkin Pas mempercepatkan mesyuarat sedangkan sudah lama ia berlarutan.

“Kalau setahun boleh tunggu, takkan empat lima hari tidak boleh, tak jadi apa pun kalau semua bersabar,” katanya membidas gesaan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Nada yang diutarakan itu memberi gambaran akan berlaku kejutan dalam PR. Jika pada awal minggu ini Pas tegas akan memberi sokongan padu pada Abdul Khalid sebagai menteri besar, parti itu tidak mustahil akan membuat pusingan U.

Calon-calon Pas juga tidak kurang hebatnya. Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Selangor, Iskandar Abdul Samad antara ikon Pas di Selangor. Bukan anak jati Selangor, tetapi sudah berkhidmat dan menabur bakti di Selangor sejak sekian lama.

Hubungannya dengan pimpinan Pas dan juga parti lain sentiasa baik.  Iskandar antara pemimpin Pas yang mendengar cakap pimpinan tertinggi dan tidak ada syok sendiri, jauh sekali membelakangi parti. Sikap itu dilihat boleh menjadi penguatnya untuk memegang jawatan menteri besar.

Seorang lagi yang disebut-sebut ialah Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi yang diketahui mempunyai latar belakang sebagai seorang profesional iaitu doktor perubatan.

Tambahan ketika menjalankan tugas sebagai Exco Selangor, dilihat cemerlang iaitu dengan memegang portfolio Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan.

Kesemua calon ini mempunyai kredibiliti sebagai pemimpin negeri. 'Track record' yang ditunjukkan juga begitu cemerlang.

Siapa juga calon-calon ini, mereka sudah pasti daripada kalangan PR juga. Namun, Pas ada tugas berat esok dan sudah pasti keputusan itu tidak menampakkan kelemahan mereka sekali lagi dalam membuat penilaian.