• Satiful Bahri (empat, kiri) bergambar dengan kepimpinan lain yang hadir.Satiful Bahri (empat, kiri) bergambar dengan kepimpinan lain yang hadir.

KUALA NERUS – Pas diminta meneliti semula tahaluf siyasi atau kerjasama dalam PR berikutan timbul percanggahan pendapat dalam kalangan pemimpin pakatan, terutama dalam menghadapi krisis politik di Selangor.

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat berkata, kajian semula perlu dilakukan bagi melihat sama ada matlamat asal kerjasama itu menguntungkan Pas atau sebaliknya.

“Kita mengharapkan Muktamar Pas Pusat bulan depan di Skudai, Johor Bahru, meneliti resolusi Dewan Ulama Pas untuk kaji semula tahaluf siyasi Pas dengan parti yang lain (dalam PR).

“Ia bagi melihat sekiranya matlamat atau hasrat sebenar melalui tahaluf siyasi yang dibuat menguntungkan (Pas).

Kita tidak mahu Pas menjadi parti yang dibuli atau dibuat bahan fitnah dan pemimpin kita dicalarkan (apabila pemimpin pakatan lain mengeluarkan kenyataan yang bercanggah),” katanya ketika ditemui pada Majlis Aidilfitri Pas Kawasan Kuala Nerus di pekan Batu Enam, di sini, semalam.

Tegas Satiful Bahri, tindakan pemimpin lain dalam PR yang sering bercanggah pendapat dan dilihat menentang kenyataan yang dikeluarkan pucuk pimpinan tertinggi secara tidak langsung mencalar imej Pas.

“Apa-apa pandangan yang mengatakan Pas keluar daripada PR (apabila Pas menyatakan sokongan terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) sebenarnya tidak berbangkit kerana ia telah diputuskan dalam muktamar sebelum ini, malah Pas dari dahulu tidak pernah sesekali keluar daripada perjanjian.

“Tapi, sekiranya Pas dikeluarkan (daripada PR), kita mahu melihat sejauh mana parti lain (dalam PR) boleh bersendiri dalam pilihan raya untuk menguasai Putrajaya.

Apa pun, keputusan yang terdekat pada 17 Ogos ini (dalam Mesyuarat AJK Pas Pusat) berkaitan dengan (kedudukan) Menteri Besar Selangor, tetapi kita mengambil sikap supaya Pas Pusat dapat teliti semula (kedudukan) tahaluf siyasi, matlamat atau hasrat sebenar kerjasama itu,” katanya.

Jelasnya lagi, Pas Terengganu juga berdiri teguh dengan keputusan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyokong Abdul Khalid untuk terus menerajui Selangor.

Kedudukan Pas dan PR kini, dilihat semakin rapuh apabila parti itu terus menyatakan pendirian untuk menyokong Abdul Khalid, sekali gus menolak cadangan PKR dan DAP untuk menggantikannya dengan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar yang baharu.

Sementara itu, kira-kira 5,000 tetamu membanjiri rumah terbuka Pas Kawasan Kuala Nerus yang turut dihadiri pemimpin-pemimpin tertinggi peringkat negeri dan kawasan.