• Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris ShahSultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung jawatan menteri besar sehingga baginda kembali ke tanah air pada 27 Ogos ini.

Abdul Khalid dalam satu kenyataan medianya sebentar tadi berkata, titah tersebut dikeluarkan selepas beliau memaklumkan kepada Sultan Sharafuddin berhubung perkembangan terkini politik di Selangor termasuk pendirian 30 Adun daripada PR.

"Saya telah berkomunikasi dengan DYMM Sultan Selangor berhubung perkembangan terbaharu politik di negeri ini termasuk sentimen di kalangan Ahli-ahli Dewan Negeri Selangor.

"Seterusnya, DYMM Tuanku Sultan telah menitahkan supaya saya tidak membuat sebarang keputusan atau pengumuman berkenaan jawatan menteri besar sehingga baginda kembali pada 27 Ogos ini untuk saya menghadap baginda," katanya dalam kenyataan itu.

Beliau berkata demikian mengulas pengumuman Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam mendakwa mempunyai sokongan 30 Adun Selangor dan menggesa Abdul Khalid meletakkan jawatan.

Sokongan tersebut diperolehi daripada 15 Adun DAP, 13 Adun PKR dan dua Adun PAS, Hasnul Baharuddin (Morib) dan Saari Sungib (Hulu Kelang).

Jumlah itu menjadikan PR kini mempunyai 30 kerusi daripada 56 kerusi dalam Dun Selangor.

Sehubungan itu, Abdul Khalid menasihatkan kepada pihak berkenaan supaya menulis surat terus kepada Sultan Selangor bagi mengelakkan baginda keliru dengan pelbagai dakwaan kepadanya.

"Saya menasihatkan kepada pihak-pihak yang berkenaan yang mendakwa saya telah mengelirukan DYMM Tuanku Sultan supaya menulis terus kepada baginda untuk mendapatkan penjelasan," katanya lagi.