Thursday, August 21, 2014

Kisah Selangor, Ridhuan Tee dan 'darul babi'


AHMAD TAJDID | .

TIBA-TIBA sahaja babi menjadi topik hangat di tengah-tengah krisis pertukaran menteri besar Selangor sekarang.

Topik babi ini disentuh dalam penulisan seorang kolumnis Tionghoa, Dr Mohd Ridhuan Tee dalam kolumnya di sebuah akhbar tempatan.

Ridhuan mendakwa, usaha menyingkirkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim punyai kaitan dengan cadangan DAP untuk melaksanakan projek penternakan babi bersepadu bernilai RM100 juta di negeri itu.

Beliau mendakwa projek itu dihalang Abdul Khalid dan jika Menteri Besar itu berjaya disingkirkan, projek babi raksasa itu akan menjadi kenyataan di Selangor.

Tidak diketahui dari sumber mana maklumat itu diperolehi Ridhuan. Namun dakwaan mengenainya telah disebar di alam siber ketika krisis MB Selangor memuncak.

Penolong Setiausaha Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Selangor, Mohammad Firdaus Babh menganggap dakwaan Ridhuan itu sebagai “jelas melakukan tohmahan dan berniat jahat terhadap DAP”.

"Kenyataan ini tidak menggambarkan pemikiran seorang doktor (falsafah) yang bertaraf profesor,” kata Firdaus membidas tulisan pensyarah kanan Universiti Pertahanan Nasional itu.

Ridhuan pada 18 Ogos lepas mengaitkan kemarahan terhadap pentadbiran Khalid Ibrahim dengan projek penternakan babi bersepadu bernilai RM100 juta oleh DAP yang belum terlaksana.

Ridhuan bimbang jika projek itu dibenarkan, Selangor akan dikenali sebagai “darul babi” dan menimbulkan ketidakselesaan penduduk, terutamanya berhampiran kawasan orang Islam.

'Kebimbangan' Ridhuan disokong Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang membangkitkan perkara sama dan mendakwa DAP berjaya menggunakan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam percaturan jawatan menteri besar.

Ini kerana, dakwa Ibrahim, ketua umum PKR itu akan mengiyakan apa sahaja kehendak DAP.

Projek penternakan babi bersepadu di Kampung Tumbuk, Kuala Langat itu bukan pertama kali dijadikan isu politik.

Ia adalah isu terawal digunakan pemimpin Umno untuk memburuk-burukkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat ketika mula mengambil alih pentadbiran Selangor pada Mac 2008.

Beberapa siri tunjuk perasaan tercetus daripada cadangan projek itu termasuk di hadapan Bangunan SUK Selangor.

Pada 9 April 2008, sejumlah 200 penduduk daripada Kampung Tumbuk Darat, Tanjung Sepat, Tanjung Laut, Kampung Layang, Kundang dan Kampung Indah berhimpun mulai jam 10.30 pagi di hadapan Bangunan SUK yang menempatkan pejabat Menteri Besar Selangor untuk membantah projek itu.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Sepat, Dr Karim Mansor yang juga bekas Setiausaha Politik MB Selangor.

Tunjuk perasaan itu diketuai Ketua Kampung Ladang Tumbuk, Mohamad Tarmudi Tushiran.

Mereka kemudian menyerahkan memorandum kepada Setiausaha Politik MB, Nik Nazmi Nik Ahmad menuntut pembatalan dan penempatan semula projek itu ke Pulau Ketam yang majoriti penduduknya bukan beragama Islam, lapor Bernama.

Tetapi benarkah projek tersebut tertangguh kerana Abdul Khalid?

Jika Ridhuan dan Ibrahim rajin membuat 'kerja rumah' sebelum melemparkan tuduhan, laporan Bernama bertarikh 11 April 2008 boleh membantu.

Berdasarkan laporan tersebut, Abdul Khalid menyatakan hasrat kerajaan negeri untuk melaksanakan projek bersepadu ternakan babi di Kampung Tumbuk mengikut perancangan walaupun dibantah penduduk.

Menurut Abdul Khalid, kerajaan negeri berpendapat lebih baik projek itu dilaksanakan memandangkan amalan penternakan babi yang dilaksanakan sekarang mencemarkan alam sekitar, mendatangkan bau busuk dan membahayakan kesihatan awam
seperti penyebaran virus Japanese Encephalitis.

Sistem penternakan babi secara moden dan mesra alam, kata Abdul Khalid diperlukan bagi mengatasi masalah itu dan kerajaan negeri telah pun mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk melaksanakannya.

Persoalan kedua, adakah projek ternakan babi bersepadu itu datang daripada DAP?

Jawapannya tidak!

Menurut Abdul Khalid, keputusan untuk melaksanakan projek itu telah dibuat oleh Menteri Besar (BN) sebelum beliau iaitu Dr Mohd Khir Toyo dan disokong oleh MCA.

Malah projek ternakan babi secara bersepadu itu dilaksanakan bagi mematuhi peraturan ditetapkan Kementerian Pertanian dan Asas Tani juga Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Malah kerajaan BN negeri telah pun meluluskan projek itu pada 30 Januari 2008.

Dakwaan bahawa projek itu akan mencemarkan alam sekitar juga tidak benar memandangkan segala bentuk kumbahan daripada ladang babi itu akan dikitar semula menjadi biogas untuk menghasilkan elektrik.

Malah air kumbahan yang dikitar semula akan digunakan untuk kegunaan ladang manakala baja kompos yang terhasil daripada proses kitar semula digunakan untuk tanaman yang menjadi bahan makanan babi ternak.

Di masa yang sama tiada ladang baru ternakan babi akan diluluskan di Selangor manakala ladang babi sedia ada diarah berpindah ke kawasan yang ditetapkan dalam tempoh setahun.

Di saat pemimpin Umno negeri 'bermain wayang' membantah projek yang dicadangkan mereka sendiri, akhbar The Sun bertarikh 14 April 2008 mendedahkan perkara yang lebih mengejutkan.

Dengan memetik kenyataan Pengerusi Biro Pertanian Tradisional MCA, Datuk Dr Lee Chong Meng, akhbar itu melaporkan bahawa rancangan asal pemusatan penternakan babi di Selangor dicadangkan syarikat milik Bumiputera menggunakan teknologi Jerman dan dibiayai dana program alam sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Cadangan awal syarikat Bumiputera itu adalah mengenakan levi RM50 untuk setiap ekor babi yang dijual peladang bagi menampung proses rawatan kumbahan.

Berdasarkan laporan Oriental Daily News bertarikh 13 April 2008, Lee berkata, Adun Tanjung Sepat, Datuk Karim Mansor yang mengkritik projek pemusatan ternakan babi itu ialah individu di sebalik syarikat Bumiputera tersebut.

Malah tambah Lee, kerajaan BN negeri di bawah teraju Dr Mohamad Khir Toyo telah menghantar delegasi ke Jerman bagi mengadakan lawatan sambil belajar untuk menilai teknologi yang digunakan dalam penternakan babi.

Menurut Lee, bukan sekadar Dr Mansor (gambar), malah Ketua Kamnpung Ladang Tumbuk, Mohamad Tarmudi Tushiran yang mengetuai tunjuk perasaan membantah projek ladang babi di hadapan Bangunan SUK, Shah Alam turut menganggotai delegasi tersebut!

Soalnya mengapa pula Umno dan penduduk kampung yang rata-ratanya penyokong Umno beriya-iya menentang projek itu sehingga ia ditangguhkan?

Mungkin jawapannya ada pada Ridhuan Tee dan Ibrahim Ali.

Noktah. - HARAKAHDAILY, 21/8/2014

No comments:

Post a Comment