Thursday, August 21, 2014

Pencemaran hulu Sungai Lipis di tahap serius


HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: PAS Pahang menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) menyiasat segera punca pencemaran Sungai Lipis yang semakin serius.

Setiausahanya, Roslan Zainal berkata, pihak JAS perlu mengambil tindakan tegas membanteras pencemaran daripada berterusan.

Ini, katanya berdasarkan gambar aliran sungai itu yang dirakam pada kira-kira jam 3.30 petang semalam (18 Ogos) di Kampung Batu Malim, Jalan Raub-Sungai Koyan.

"Kebiasaannya aliran air Sungai Lipis ini agak jernih dan lokasi gambar ini diambil menjadi tumpuan orang ramai bermandi manda.

"Namun pada hari ini airnya bukan saja keruh malah berwarna merah! Kejadian ini bukan kali pertama malah kerap kali berlaku selepas hujan lebat di hulu sungai," tulis beliau di dalam blognya.

Menurutnya, Sungai Lipis adalah anak kepada Sungai Jelai, justeru air yang tercemar ini akan mengalir ke Sungai Pahang.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan apakah punca yang menyumbang kepada pencemaran yang serius itu.

"Adakah terdapat aktiviti perlombongan di hulu sungai ini, atau aktiviti pembalakan dan pembukaan ladang yang tidak terkawal?

"Atau disebabkan oleh projek pembinaan jalan raya ke Slim River yang entah bila akan siapnya sejak dimulakan beberapa tahun lalu?" tanya beliau.

Sehubungan itu, katanya PAS Negeri Pahang memandang serius pencemaran itu kerana menjejaskan kualiti air sungai dan sistem ekologi.

"Pastikan slogan 'Cintailah Sungai Kita' tidak hanya tinggal slogan di papan tanda iklan," katanya lagi. - HARAKAHDAILY 19/8/2013

No comments:

Post a Comment