Thursday, August 21, 2014

MH17: Selepas 36 hari nahas, jenazah dihantar pulang ke pangkuan keluarga


 
THE HAGUE: Selepas 37 hari nahas tragedi MH17 berlaku, kumpulan pertama jenazah rakyat Malaysia diterbangkan pulang ke tanah air pada Khamis dan dijadual tiba ke pangkuan keluarga pada Jumaat.

Kepulangan yang dinanti anggota dan waris keluarga, rakan dan rakyat Malaysia ini merangkumi 20 jenazah yang dihantar pulang dalam 17 keranda dan tiga lagi di dalam bekas abu.

Daripada jumlah itu, 11 merupakan jenazah mangsa beragama Islam dan selebihnya bukan beragama Islam. Kesemuanya telah selesai menjalani proses pengurusan jenazah mengikut kepercayaan agama masing-masing pada lewat malam Rabu.

Sejak dikenal pasti sebagai rakyat Malaysia sewaktu proses pengecaman dan identiti mangsa di Kem Perubatan Tentera Hilversum, dekat sini, semua jenazah kemudian melalui lima proses penting.

Ia melibatkan proses mendapatkan sijil kematian, sijil perubatan, laporan bencana, permit kebenaran penghantaran jenazah dan surat persetujuan pegawai pendakwa raya Belanda bagi jenazah dikebumi atau dibakar.

Selesainya proses itu, jenazah kemudian dipindahkan ke rumah mayat Monuta Innemee, S-Gravenhage di sini, kira-kira 90km dari Hilversum untuk menjalani pengurusan jenazah mengikut kepercayaan agama masing-masing.

Ini termasuk dibakar, disembahyangkan atau solat jenazah yang dilaksanakan ketua agama masing-masing dan waris keluarga.

Kemudian kesemua jenazah dipindahkan ke sebuah rumah penyimpanan mayat berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Schiphol.

Urusan pemindahan ini adalah sebagai persediaan sebelum dibawa pulang ke Malaysia dengan pesawat khas Malaysia Airlines (MAS) pada petang Khamis dan penerbangan itu dijangka mengambil masa kira-kira 11 jam.

Dalam pada itu, ketika ditemui Bernama sejurus selesai upacara solat jenazah pada Rabu, seorang waris keluarga yang enggan dikenali berkata, beliau bersyukur proses pengurusan ini telah selesai dan menerima ketentuan yang ditetapkan Allah.

"Terima kasih kepada semua yang membantu menyempurnakan ahli keluarga kami. Ketika hayatnya, arwah seorang yang sangat menyenangkan dan jarang menimbulkan masalah kepada kami.

"Kehilangannya pasti akan dirasai namun hidup perlu diteruskan," katanya yang hadir bersama beberapa ahli keluarga lain.

Seorang lagi waris kepada jenazah lain yang turut enggan dikenali secara ringkas berkongsi kepada Bernama, bahawa beliau menerima hakikat yang berlaku (tragedi) ini sudah ditentukan.

Terkini, 30 rakyat Malaysia mangsa nahas MH17 itu telah dikenal pasti.

Selain 20 yang tiba di tanah air esok, bakinya belum mendapat pelepasan daripada pihak berkuasa Belanda untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Kerajaan Malaysia merancang untuk membawa pulang kumpulan kedua jenazah pada 24 Ogos ini namun ia bergantung kepada proses pengurusan jenazah, dokumentasi dan kelulusan pihak berkuasa Belanda.

Sementara itu, menurut sumber yang terlibat dalam urusan mengenal pasti mayat di Kem Perubatan Tentera Hilversum, kesemua pakar bertungkus lumus menjalankan tanggungjawab mereka bagi menyelesaikan proses pengecaman identiti, autopsi dan sebagainya.

Penerbangan MH17 membawa 298 penumpang dan anak kapal yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai.

Selain 43 warga Malaysia, penumpang pesawat itu turut terdiri daripada warga Belanda, Australia, Indonesia, United Kingdom, Jerman, Belgium, Filipina, Kanada dan New Zealand. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment