KUALA LUMPUR - Lapan lagi jenazah-tujuh rakyat Malaysia, seorang warga Belanda-mangsa tragedi MH17 akan dibawa pulang ke tanah air Selasa ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, istiadat penghormatan jenazah akan diadakan di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada hari yang sama.

Ketika ini, lapan jenazah berkenaan sedang melalui proses dokumentasi di Amsterdam, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Maklumat terperinci lapan jenazah itu akan dimaklumkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein selepas mempengerusikan mesyuarat
Jawatankuasa Koordinasi Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi MH17 yang dijadualkan Isnin ini, katanya.

"Kepulangan tujuh lagi jenazah warga tempatan itu bermakna kesemua 31 jenazah rakyat Malaysia yang telah dikenal pasti sebelum ini telah dan akan dibawa pulang ke tanah air," katanya.

Setakat ini, 24 jenazah rakyat Malaysia telah dibawa pulang ke tanah air sejak Jumaat lepas.

Muhyiddin berkata, pihak kerajaan berharap agar semua pihak termasuk media dapat menghormati kesedihan yang dirasai keluarga mangsa tragedi MH17 seterusnya menjaga privasi dan sensitiviti mereka.

Pada Jumaat lepas, kumpulan pertama 20 jenazah warga Malaysia yang melibatkan 11 penumpang dan sembilan anak kapal dibawa pulang dari Amsterdam dengan sebuah pesawat khas.

Satu lagi jenazah tiba pada Sabtu lepas manakala tiga jenazah tiba keesokannya.

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin turut memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah berusaha untuk memastikan pasukan penyiasat dan pihak keselamatan Malaysia dibenarkan kembali memasuki kawasan nahas bagi menjalankan tugasan yang belum selesai khususnya dalam mencari mayat yang masih belum ditemui.

"Dalam menangani tragedi ini, kerajaan Malaysia amat konsisten bahawa pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat mesti dibawa ke muka pengadilan dan menerima hukuman yang sekeras-kerasnya," katanya.

Pesawat Boeing 777-200 yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai.

Sebanyak 43 daripada mereka adalah warga Malaysia.

Laporan media sebelum ini melaporkan jenazah warga Belanda itu dibawa ke Malaysia atas permintaan keluarga mangsa yang mahukan jenazah itu disemadikan di negara ini. - Bernama