Thursday, August 28, 2014

Rakan tolong cukupkan duit


Jemaah haji, Imam Basori Mukadji, 45, mengakui kemalangan di tempat kerja di sebuah kampung di Pontian, Johor menyebabkan matanya tercedera sehingga menghilangkan semangatnya untuk ke Tanah Suci sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, dia yang menjual minyak wangi kemudian mendaftarkan diri untuk mengerjakan haji pada 2007 dan tidak menyangka dipilih untuk menunaikan haji pada 2014 walaupun ketika itu simpanan dalam Tabung Haji (TH) hanya ada kira-kira RM6,000 saja.
“Rakan-rakan kemudian memberikan bantuan bagi mencukupkan jumlah sepatutnya sehingga saya berjaya berada di sini hari ini dan bersyukur Allah SWT memberikan rezeki kepada saya,” katanya ketika ditemui Harian Metro bersama pengiringnya Fakhrul Razi Hamsin, 44, sebaik tiba di hotel penginapan mereka, di sini, semalam.

Mereka adalah antara 450 kumpulan pertama jemaah haji Malaysia yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad Bin Abdulaziz, di sini, kira-kira jam 9 pagi (2 petang waktu Malaysia), semalam.

Jemaah kemudian dibawa menaiki bas ke hotel penginapan di Hotel Anwar Al Madinah Movenpick di sini, dan disambut Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah Khalid Abbasi Absul Razak; Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia ke Arab Saudi Alauddin Mohd Nor; Pegawai Muassasah Adila’ Sheikh Dr Ahmad Yusof Hawala; Timbalan Ketua Rombongan Haji Malaysia Nurrinanuwar dan Konsul Haji Redhuan Sabaruddin.
Foto
IMAM Basori (kiri) dan Fakhrul Razi ditemui di di Hotel Anwar Al Madinah Movenpick, semalam.
Di samping itu, Imam Basori berkata, selain daripada menjual minyak wangi di kaki lima masjid, dia juga mengajar mereka yang berminat dengan sukan renang di kolam renang dekat Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Dia yang mempunyai dua anak masing-masing berusia 11 dan tujuh tahun mengakui, hasil simpanan selain bantuan rakan membolehkan dia mengerjakan haji selepas mendapat tawaran darpada TH pada 2013.

Sementara itu, Fakhrul Razi bersyukur kerana diberikan ruang oleh TH untuk menjadi pengiring kepada rakannya itu.
Menurutnya, dia ditawarkan oleh Imam Basori yang disyaratkan TH untuk mempunyai pengiring jika mahu ke Makkah sebelum terus bersetuju. “Saya bersyukur kerana dapat mengerjakan haji awal berbanding giliran sepatutnya dijangka pada 2042,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/28

No comments:

Post a Comment