AYER KEROH - "Dulu saya jahat. Tapi, sejak menjalani hukuman di sini, saya diasuh menjadi individu yang cintakan agama." Demikian luah Mie (bukan nama sebenar), 40, seorang banduan yang kini sedang menjalani hukuman di penjara Bebas Dusun Dato' Murad, di sini.

Siapa sangka, Mie yang sebelum ini bergelar penjenayah kini mampu menjadi guru mengaji kepada banduan lain dan sudah khatam al-Quran hampir 30 kali sepanjang menjalani hukuman, hasil bimbingan dari ustaz di penjara.

Mie mengakui, kehidupannya di sebalik tirai besi itu berjaya mengubah dirinya menjadi seorang insan lebih baik.

Menceritakan kisah hidupnya, Mie berkata, sebelum ini dia terlibat dalam kegiatan kumpulan tertentu.

Mie menjelaskan, dia dijatuhi hukuman penjara selama tujuh tahun pada 2003 atas kesalahan membunuh tanpa niat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan, sebelum mahkamah memutuskan hukuman terhadapnya ditambah kepada 14 tahun pada Jun 2010.

Dia yang pernah menjalani hukuman di beberapa penjara termasuk di Penjara Kajang, Penjara Alor Setar, Seremban akan dibebaskan pada 24 Februari 2015.

Menurut Mie, hukuman yang dijalani di penjara sepanjang 13 tahun lalu banyak mendorong dirinya melakukan pelbagai aktiviti-aktiviti yang lebih diredai ALLAH SWT.

“Apatah lagi di Penjara Pra Bebas Dusun Dato’ Murad ini saya banyak menyertai aktiviti tazkirah, ceramah agama, sekali gus banyak mendatangkan keinsafan buat diri saya dan melahirkan sikap tanggungjawab serta lebih sayangkan keluarga.

"Di sini saya diajar mendalami ilmu al-Quran sehingga saya berupaya membaca dengan baik,” katanya ditemui pada Program Jalinan Kasih Banduan dan Keluarga di Penjara Pra-Bebas Dusun Datuk Murad, Ayer Keroh, di sini, kelmarin.

Anak kesembilan daripada 13 beradik yang berasal dari Seremban itu bagaimanapun reda dengan balasan diterima atas perbuatan lampau.

“Siapa yang tidak sedih apabila selesai menjalani hukuman selama tujuh tahun pada 2010, pendakwaan membuat rayuan dan berjaya apabila mahkamah memutuskan tempoh hukuman kepada saya ditambah tujuh tahun lagi.

"Namun saya reda dan menganggapnya sebagai kifarah atas perbuatan saya sebelum ini," katanya.

Mie berkata, sepanjang menjalani hukuman penjara, dia diberi kesempatan menyertai pelbagai aktiviti anjuran Penjara, termasuk bekerja sebagai tukang masak di kantin pegawai bagi menambah kemahiran sebagai persediaan apabila dibebaskan kelak.