Thursday, August 28, 2014

PAS berhasrat tanding DUN Pengkalan Kubor

RABU, 27 OGOS 2014 @ 10:30 PM

 
GUA MUSANG: Walaupun kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor ditandingi PKR sebelum ini, rakan pakatannya PAS berhasrat untuk bertanding kerusi DUN itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerana yakin mampu mencapai kemenangan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah, berkata kerusi itu yang diberi kepada PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-13, hanyalah sebagai pinjaman sahaja dan PAS boleh kembali mempertahan kerusi itu berikutan ada sokongan kuat dari akar umbi.

"Kerusi itu memang milik PAS sebelum ini, tetapi atas dasar pakatan kita beri pinjam kepada PKR untuk bertanding menentang BN dalam PRU-13 lalu," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Kota Sejahtera Chiku di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Datuk Nozula Mat Diah dan Ketua Jajahan Gua Musang, Nazran Mohamad.

Mohd Amar berkata, hasrat PAS itu akan dibincangkan dengan PKR.

"Kita lihat ada peluang untuk kita menang...soal calon belum dibincangkan lagi setakat ini," katanya.

Kerusi DUN Pengkalan Kubor kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noor Zahidi Omar, 57, di Guangzhou, China pada 20 Ogos lalu kerana kanser hati.

Allahyarham Noor Zahidi adalah ADUN Pengkalan Kubor selama tiga penggal dan Ketua UMNO Bahagian Tumpat selama empat penggal.

Pada pilihan raya umum lepas, Allahyarham yang mewakili BN mengalahkan calon PKR, Saharun Ibrahim dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.

- BERNAMA

No comments:

Post a Comment