Tuesday, August 5, 2014

‘Saya sedia disiasat’


Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque
Shah Alam: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bersedia disiasat berhubung dakwaan salah laku yang dilemparkan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Saifuddin Nasution.

Beliau berkata, tuduhan dibuat Saifuddin itu tidak benar sama sekali dan satu laporan segera perlu dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) jika dakwaan itu benar.

Menurutnya, sekiranya dakwaan dibuat itu benar, Saifuddin bersama rakan dalam PKR perlu membuat laporan segera supaya satu siasatan rapi dapat dijalankan.

“Saya memandang serius tuduhan salah laku dilemparkan Saifuddin dan saya menafikan dakwaan itu kerana tidak benar sama sekali.

“Jika Saifuddin yakin beliau berada di pihak yang benar, maka beliau dan rakan dalam PKR sepatutnya membuat laporan segera kepada SPRM dan BNM selain mendedahkan bukti bagi mengukuhkan dakwaan salah laku itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Katanya, kegagalan Saifuddin dan rakan dalam PKR berbuat demikian hanya mengundang spekulasi tuduhan itu bermotifkan politik dan berniat jahat.

Menurutnya, beliau bersedia memberikan komitmen dan kerjasama sepenuhnya sekiranya siasatan mengenai salah laku itu dijalankan.

“Saya mengingatkan rakan berhati-hati membuat tuduhan kerana saya berhak mengambil tindakan undang-undang terhadap kenyataan fitnah dilemparkan.

“Pada masa sama, saya akan meneruskan keupayaan memberi khidmat terbaik kepada rakyat Selangor dengan mentadbir negeri ini secara telus, bertanggungjawab dan pentadbiran yang baik,” katanya.

Saifuddin sebelum ini dilaporkan berkata, Abdul Khalid perlu ditukar kerana masalah susulan isu hutang dengan sebuah bank.

Beliau mendakwa kerajaan negeri dan sebuah syarikat pemaju menjalankan urusan perniagaan membabitkan nilai ratusan juta ringgit selain mendakwa Abdul Khalid memberikan projek rumah mampu milik Selangor bernilai RM591 juta kepada syarikat sama.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/05

No comments:

Post a Comment