Tuesday, August 5, 2014

Tiada mayat baru ditemui


Sydney: Tiada mayat terbaru ditemui pasukan penyiasat khas pada hari keempat pencarian dilakukan di lokasi nahas MH17 semalam.

Memetik laporan The Sydney Morning Herald, Ketua Marsyal Udara yang juga wakil khas Australia Angus Houston berkata, terdapat banyak tugas perlu dilakukan di seluruh kawasan pencarian di timur Ukraine itu.



“Kami sedar penemuan saki-baki mayat cukup penting bagi memberikan keluarga mangsa kesimpulan yang layak diterima dalam situasi sukar ini,” katanya.

Menurutnya, sepasukan 80 pegawai Belanda dan Australia menjumpai baki mayat serta barangan milik penumpang MH17 sejak mereka memulakan tugas Sabtu lalu.

  Pakar Polis Persekutuan Australia kini membantu dalam usaha pencarian mayat serta pengecaman identiti mangsa, namun tidak terbabit bagi pengumpulan bahan bukti siasatan kes.

“Saya memohon kesabaran dan sokongan berterusan daripada semua pihak kerana pasukan penyelamat kini sedang meneruskan tugasan mereka,” kata Houston.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama sepenuhnya dalam membolehkan misi yang diketuai Belanda itu memasuki kawasan nahas yang mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal pesawat MH17.


Pertempuran antara tentera Ukraine dan kumpulan pemberontak pro-Russia terus berlaku di rantau itu dengan serangan di sekitar kubu kuat pemberontak Donetsk semakin aktif sejak beberapa hari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/05

No comments:

Post a Comment