Friday, September 5, 2014

ADUN PAS untuk MB


Oleh Hairulazim Mahmud dan Ekhwan Haque Fazlul Haque
Kuala Lumpur: PAS Pusat akhirnya turut mempersembahkan nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor daripada parti itu sebagai calon menteri besar kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk dipertimbang bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang sudah menyatakan hasrat meletak jawatan.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali semalam mengesahkan bahawa tiga nama sudah dikemukakan Pejabat Presiden PAS terus kepada Istana Selangor tetapi enggan mendedahkan senarai nama berkenaan.

Beliau berkata, tiga nama itu dipersembahkan bagi mematuhi titah Sultan Selangor yang mahukan setiap parti dalam Pakatan Rakyat (PR) Selangor supaya menyerahkan lebih daripada dua nama untuk dipertimbangkan sebagai menteri besar yang baru.

Difahamkan, selain dua nama ADUN mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan timbalannya Mohamed Azmin Ali seperti yang diputuskan mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat pada 17 Ogos lalu, PAS dipercayai turut menyenaraikan nama Pesuruhjaya PAS negeri Iskandar Abdul Samad.

Difahamkan, pencalonan Iskandar dibuat berdasarkan kelayakan dan pengalamannya iaitu sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka bagi penggal kedua, anggota Exco kanan kerajaan negeri serta sebagai Pesuruhjaya PAS negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar Selangor itu dikatakan cukup layak untuk menduduki jawatan berkenaan sekiranya memperoleh sokongan majoriti ADUN di DUN Selangor.

Sebelum ini, PAS menegaskan yang parti itu enggan menuntut jawatan nombor satu kerajaan negeri itu, sebaliknya menyerahkan kepada PKR untuk menentukan pengganti Abdul Khalid.

Pada 27 Ogos lalu, Istana Selangor menghantar surat rasmi kepada PKR, PAS dan DAP yang menitahkan supaya ketiga-tiga parti itu menghantar lebih daripada dua nama calon sebelum 3 September.

Surat itu dialamatkan kepada Wan Azizah dengan salinan kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dengan syarat calon yang dinamakan itu mesti beragama Islam dan berketurunan Melayu menurut Perkara L1 (2), Undang-undang Tubuh Negeri Selangor.

Sementara itu, di Shah Alam, Iskandar ketika ditemui media berkata, beliau tidak mengetahui sekiranya nama beliau antara yang dicadangkan partinya untuk dilantik menjadi menteri besar yang baru.

Beliau berkata, urusan pemilihan calon menteri besar yang dicadangkan kepada Istana Selangor hanya diketahui kepemimpinan PAS Pusat manakala kepemimpinan negeri tidak mengetahui perkara itu.

Menurutnya, nama calon menteri besar dicadangkan PAS Pusat hanya diputuskan kepemimpinan tertinggi parti dan tidak membabitkan kepemimpinan PAS Selangor.

“Semua nama yang dicadangkan sebagai calon menteri besar hanya diputuskan oleh kepemimpinan PAS Pusat dan kepemimpinan PAS negeri tidak terbabit dalam perkara itu,” katanya.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/05

No comments:

Post a Comment