SHAH ALAM - Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan berkata, beliau bersedia menghadapi saman yang dikemukakan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkaitan isu 'terowong' di mahkamah.

Nasrudin yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat berkata, beliau telah menerima saman tersebut secara rasmi daripada Guan Eng kelmarin.

"Dua  minggu lepas saya menerima notis dari peguam YAB Lim Guan Eng, meminta saya memohon maaf dengan menyenaraikan pertuduhan dan mendakwa saya telah memfitnah beliau.

"Notis itu telah saya jawab melalui peguam saya Wan Rohimi bin Wan Daud dari Firma Guaman Tengku Amalin' A-Ishah Putri, Faizi dan Wan Rohimi.

"Dan kelmarin saya telah menerima saman daripada Guan Eng itu, Insya-Allah saya sedia menghadapinya di mahkamah," katanya menerusi kenyatan beliau hari ini.

Isu terowong  ini timbul apabila Nasrudin dalam kenyataanya sebelum ini mendakwa projek pembinaan Terowong Dasar Laut di Pulau Pinang turut mencetuskan kontoversi.

Ini kerana bagi Nasrudin, tindakan hanya menumpukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengenai isu pembinaan projek Lebuhraya Kinrara Damansara (Kidex)  adalah tidak adil.

Rentetan daripada kenyataan itu, Guan Eng memberi tempoh 24 jam kepada beliau untuk meminta maaf dan menarik balik kenyataannya itu.